Penjara mandatori sangat tepat untuk samseng jalanan

Penjara mandatori sangat tepat untuk samseng jalanan

SELEPAS ini tiada lagi istilah "mat rempit''. Gelaran kepada golongan yang mencetus huru-hara di jalan raya itu kini bertukar kepada "samseng jalanan". Itulah yang diputuskan oleh pihak polis kelmarin.

Gelaran itu nampaknya tepat bagi menggambarkan kekacauan yang dicetuskan oleh mereka. Banyak pihak sebelum ini menyatakan bahawa gelaran mat rempit terlalu "hebat" untuk golongan tersebut.

Mereka berlagak di atas jalan raya dan istilah mat rempit itu turut menyemarakkan semangat anak-anak muda yang kononnya "tidak takut mati" itu.

Bagi 'memerangi' golongan itu, pihak polis bukan sahaja mengubah gelarannya malah turut mengemukakan cadangan agar kerajaan meminda Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Bukit Aman mahu samseng jalanan tersebut dikenakan hukuman penjara mandatori, sesuai dengan kesalahan yang mereka lakukan.

Ketika ini, Seksyen 42 (1) hanya memperuntukkan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sekurang-kurangnya lima bulan.

Hukuman tersebut terlalu ringan berbanding dengan akibat buruk yang dicetuskan oleh samseng jalanan yang menguasai jalanjalan raya pada waktu dinihari tersebut.

Tindakan pihak polis itu sekali gus membuktikan gejala lumba haram semakin tidak terkawal. Hanya tindakan keras menerusi peruntukan undang-undang sahaja yang diyakini mampu membendung mereka.

Aktiviti golongan tersebut semakin menular sehingga ia menjadi perbincangan hangat di sana sini. Mereka bukan sekadar mencetus ketidakselesaan malah turut mengancam nyawa pengguna jalan raya yang lain.

Bila sahaja isu membabitkan golongan samseng jalan raya ini, - antaranya turut menjadi penagih dan pengedar dadah selain peragut - ramai yang mendesak kerajaan dan pihak polis bertindak tegas.

Namun ramai juga yang tidak tahu bahawa peruntukan undang-undang sedia ada tidak memungkinkan pihak polis melakukan tindakan lebih keras terhadap golongan itu.

Rupa-rupanya cadangan agar Seksyen 42 (1) itu dipinda telah pun dikemukakan kepada kerajaan sejak dua tahun lalu. Namun sehingga kini tiada sebarang maklum balas diperolehi. Ia membantutkan 'langkah' pihak polis untuk menangani gejala tersebut.

Dan ketika masalah itu menjadi semakin rumit, amat wajar usul tersebut diberi perhatian segera. Wujudkan hukuman yang lebih berat sebagai faktor pencegah.

Sekurang-kurangnya polis boleh bertindak berdasarkan undang-undang. Semoga selepas ini tiada lagi yang menuding jari menyalahkan pihak polis "tidak buat kerja" pada hal mereka tertakluk kepada peraturan terhad.

Mungkin hanya kekerasan sahaja yang boleh menundukkan anak-anak muda yang "tidak makan saman" tersebut.

Bagaimanapun, selepas ini kita juga berharap tidak ada pihak yang akan cuba menjadi 'wira' untuk memperjuangkan 'hak asasi' golongan samseng jalanan tersebut.

Ini kerana semacam satu trend untuk mempertahankan sesuatu golongan demi mendapat mileage tertentu. Ingatlah, kesan buruk akibat tindakan samseng jalanan tidak mengira siapa. Mereka tidak kenal mangsa.

0 comments: