Jangan terus bebankan PTPTN

Jangan terus bebankan PTPTN

Oleh MOHD. YAHYA MOHAMED ARIFFIN


JANGKAAN Kementerian Pengajian Tinggi bahawa Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan mengalami defisit sehingga RM46 bilion pada 2020 seperti yang dilaporkan barubaru ini adalah sesuatu yang mengejutkan dan tidak harus berlaku.

Jumlah yang besar itu jika berjaya dikumpul daripada peminjam sebenarnya boleh membiayai pengajian beriburibu pelajar lain yang akan melanjutkan pengajian ke universiti.

Tanggungjawab sosial kerajaan memberi bantuan dalam bentuk pinjaman kewangan kepada pelajar universiti dan institusi pengajian tinggi nampaknya telah dinafikan oleh sikap peminjam.

Mungkin mereka lupa bahawa wang PTPTN adalah bantuan dalam bentuk pinjaman. Dalam bahasa yang mudah sebarang pinjaman perlu dibayar kembali keseluruhan jumlah beserta bayaran perkhidmatan yang dicajkan.

Kementerian Pengajian Tinggi menganggarkan sejumlah 60,000 siswazah dikategorikan sebagai penganggur dan sebahagian besarnya adalah bumiputera.

Penulis percaya bahawa ramai daripada mereka adalah peminjam PTPTN yang tidak mampu membayar balik pinjaman yang dibuat kerana ketiadaan sumber pendapatan tetap.

Oleh itu, langkah Kementerian Pengajian Tinggi menganjurkan Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Graduan 2009 selama tiga hari yang berakhir 17 Mei lalu sangat tepat kerana membuka peluang kepada mereka untuk merebut hampir 14,000 pekerjaan yang ditawarkan.

Dalam hal membayar balik pinjaman pihak PTPTN dilihat sangat bertolak ansur terhadap peminjam. Mereka boleh membayar secara ansuran bulanan serendah RM50 melalui bank. Namun masih ramai yang enggan membayar.

Jika meminjam dengan pihak bank sudah tentu para peminjam akan 'dikejar' jika ingkar membayar balik. Malah akan dikenakan tindakan undang-undang.

Mungkin PTPTN tidak sehebat pihak bank mengutip balik wang dari peminjam tetapi janganlah kelemahan mekanisme itu dijadikan kesempatan untuk melarikan diri.

Sebagai golongan berpendidikan tinggi, sepatutnya graduan bertanggungjawab untuk membayar hutang.

Ingatlah wahai para peminjam, defisit PTPTN yang semakin membesar itu disebabkan oleh sikap buruk anda.

Perbuatan itu akan memberi kesan langsung kepada bakal pelajar lain yang mungkin ialah adik beradik, saudara mara dan rakan-rakan anda sendiri.

Kepada bakal-bakal pelajar universiti dan institusi pengajian tinggi pula, jangan hanya bergantung kepada PTPTN sahaja kerana di negara ini begitu banyak organisasi kerajaan dan swasta yang menawarkan bantuan kewangan.

Maklumat yang dikumpul oleh penulis setakat ini menunjukkan terdapat lebih 160 organisasi yang menyediakan bantuan kewangan sama ada dalam bentuk biasiswa atau pinjaman kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Malah dalam buku Akademik, Kerjaya dan Anda terbitan Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd., penulisnya menyenaraikan lebih 130 organisasi penaja.

Sebagai contoh, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) turut menawarkan 2,000 tempat kepada pelajar cemerlang lepasan SPM untuk mengikuti pengajian di luar negara dan 2,000 tempat lagi untuk pengajian dalam negara.

Selain itu, banyak universiti dan kolej universiti tempatan awan dan swasta menawarkan biasiswa kepada pelajar cemerlang yang mendapat tempat di universiti berkenaan.

Apa yang pasti, setiap hutang itu walaupun seringgit, wajib dibayar balik kepada pemiutang. Apatah lagi boleh menjejaskan peluang pihak lain akibat perbuatan kita.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya.

0 comments: