Basuh tangan dengan sempurna hindari wabak
Oleh DR. IRFAN MOHAMAD
NEGARA sedang berdepan ancaman wabak yang silih berganti. Belum pun reda bahang influenza A (H1N1), disambung pula dengan kes radang selaput otak (meningitis). Apabila ia tampak reda, timbul pula kes leptopisrosis. Tenggelam sementara kes denggi akibat serangan bertubi-tubi wabak baru berkenaan.
Langkah proaktif oleh Kementerian Kesihatan yang dibantu oleh agensi-agensi kerajaan lain sedikit sebanyak mampu mengawal atau setidak-tidaknya menghalang penularannya.
Selain aspek saringan, rawatan mahupun kuarantin, pendidikan kesihatan mengenai kepentingan prinsip mencegah juga ditekankan.
Antara perkara paling kerap dilakukan ialah membasuh tangan. Ketika hendak makan, keluar dari bilik air, menyediakan makanan ataupun semasa berwuduk, membasuh tangan adalah kemestian.
Sungguh pun begitu, masih ramai yang tidak mengambil berat perkara semudah ini. Dalam banyak kes, aspek membasuh tangan tidak dititikberatkan. Semuanya mengambil mudah soal itu.
Menjaga kesihatan tidak lengkap sekiranya aspek kebersihan tangan diabaikan. Ini kerana sebilangan besar penyakit berjangkit merebak melalui tangan yang kotor. Baik taun, tifoid; hepatitis A; penyakit tangan, kaki dan mulut, keracunan makanan dan pelbagai lagi. Langkah pencegahan paling mudah ialah membasuh tangan.
Bahkan, influenza A H1N1 juga boleh merebak melalui tangan yang tersentuh titisan cecair badan sama ada batuk atau bersin. Titisan-titisan berbahaya ini akan "dideposit" di merata-rata tempat seperti tombol pintu, meja dan perabot atau perkakasan lain.
Mungkin di sekolah-sekolah rendah, aspek penjagaan gigi amat ditekankan. Hampir setiap sekolah mengadakan sesi demonstrasi menggosok gigi kepada pelajar.
Namun adakah sekolah turut mengadakan kempen membasuh tangan?
Agama Islam juga menekankan kepentingan menjaga kebersihan tangan. Buktinya ialah dalam ibadat wuduk itu sendiri ada aspek membasuh tangan sehingga ke pergelangan tangan dan sekali lagi membasuh tangan hingga ke siku. Disunatkan pula dilakukan sebanyak tiga kali.
Kaedah ini telah lama dipraktikkan di bilik-bilik bedah di seluruh dunia. Sebelum pakar bedah memakai "gaun hijau", mereka perlu membasuh tangan sehingga ke siku, beberapa kali bagi memastikan tiada bakteria yang dibawa masuk kepada pesakit. Ini terbukti dapat mengurangkan risiko jangkitan di tempat pembedahan (surgical site infection).
Selain itu, kita juga disunatkan membersih dan menggosok di celah-celah jari sewaktu berwuduk. Amalan itu amat berkesan dalam kaedah membasuh tangan sebelum pembedahan dan ia turut diguna pakai dalam persediaan sebelum pembedahan sehingga kini.
Satu lagi amalan sunat yang harus kita amalkan secara konsisten ialah memendekkan kuku. Ini kerana kuku panjang boleh menyebabkan bakteria dan kekotoran mudah terperangkap. Dalam hal ini, agama telah menunjukkan kaedah perubatan iaitu pencegahan.
Jika dalam ilmu pembedahan, kuku perlu dibersih dengan berus khas. Namun jika amalan sunat memotong kuku ini diamalkan, maka tahap kebersihan pastinya lebih baik berbanding mereka yang berkuku panjang.
Kita juga diajar supaya menggunakan tangan kiri untuk bersuci terutamanya ketika membuang air besar. Secara kontranya pula kita disuruh supaya makan dengan tangan kanan. Ia juga merupakan suatu kaedah perubatan preventif.
Daripada aspek penggunaan sumber air pula, menjadi sesuatu yang amat penting untuk menentukan kebersihannya. Agama menggredkan air untuk bersuci ialah "air mutlak". Ia menunjukkan aspek sumber air perlu diberi perhatian
Secara logik, jika sumber air untuk membasuh tangan ialah "air mustakmal" iaitu air yang telah digunakan, maka potensi untuk jangkitan akan meningkat. Tiada guna membasuh dengan sabun, menggosok dengan berus jika air daripada sumber mustakmal.
Penyakit leptospirosis dikatakan berpunca daripada air kumuhan tikus, yang mungkin mencemari air yang digunakan oleh manusia.Amalan tradisi membasuh tangan ketika kenduri di kampung dengan cara mencelupkannya ke dalam bekas yang berisi air bukan sahaja tidak menepati prinsip membasuh tangan dengan sempurna. Bahkan kaedah itu akan lebih mengotorkan tangan. Lebih-lebih lagi jika kita bukan orang yang pertama menggunakannya.
Memahami hakikat "biar mati anak asalkan jangan mati adat" dan situasi yang agak sukar untuk meminta air bersih sewaktu majlis keramaian, maka kita pun dengan berat hati terpaksa mencelupkan tangan ke dalam bekas air yang sudah nampak sisa-sisa makanan orang lain di dasarnya dan juga selaput minyak di permukaan.
Sebaik-baiknya selepas itu, pergilah ke paip air untuk membasuh semula tangan kita itu.
Membasuh tangan dengan baik sebenarnya mudah tetapi janganlah diremehkan kepentingannya.
Perubatan secara preventif amat berkesan, mudah dan jauh lebih murah berbanding rawatan apabila penyakit sudah menjangkiti kita.
Hargailah kesihatan dengan membuktikannya menerusi amalan membasuh tangan dengan sempurna.
Jangan biarkan penyakit bertandang hanya disebabkan kita leka dan mengambil mudah amalan penjagaan kebersihan.
Maka, basuhlah tangan dengan sempurna.
PENULIS ialah Pensyarah Kanan dan juga Pakar Otorinolaringologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Kelantan.
0 comments:
Post a Comment