Kelantan penentu hala tuju Pas

Kelantan penentu hala tuju Pas

Oleh AZRAN FITRI RAHIM
azran.rahim@utusan.com.my

SECARA tiba-tiba, seperti ledakan gunung berapi, beberapa tokoh utama Pas di negeri ini meluahkan perasaan yang mungkin telah terbuku di hati sejak sekian lama.

Ia bermula dengan luahan rasa anak Mursyidul Am Pas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz diikuti oleh Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa. Kemudian ia disahut pula oleh Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Mohamed Daud Iraqi atau lebih dikenali dengan Ustaz Mat Iraq.

Ekoran daripada itu, muncul beberapa tokoh lain seperti Timbalan Pesuruhjaya Pas III Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dan Setiausaha Pas Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan yang secara jelas mempertahankan Mohamed atau secara amnya golongan ulama. Mereka 'menyerang' kembali apa yang disifatkan sebagai golongan pro-Anwar.

Soalnya, kenapa secara tiba-tiba ia meletus sedangkan mereka amat berpegang kepada prinsip untuk tidak mendedahkan kepada umum masalah dalaman parti tersebut? Kenapa juga ia berlaku ketika parti itu semakin kukuh serta hampir mencapai puncak perjuangan?

Pada masa yang sama, ramai yang melihat pertembungan tokoh-tokoh ini hanya melibatkan soal yang klise setiap kali menjelang pemilihan. Iaitu siapa yang layak memimpin Pas - ulama atau profesional.

Sebenarnya, itu bukan persoalan pokok. Bagi golongan seperti Mat Iraq, Nik Abduh, Mohd. Amar dan Takiyuddin hatta Husam sendiri, ia merupakan survival parti itu. Adakah ia masih berlandas dan berpaksikan kepada Islam? Isu ulama dan profesional adalah perkara kedua.

Ini jelas apabila Nik Abduh mendedahkan mengenai 'kerja-kerja bodoh dalam Pas' yang dilakukan oleh kumpulan tertentu dan menyifatkan mereka sebagai "pejuang nafsu".

Kenyataan itu ada persamaan dengan apa yang diucapkan oleh Mat Iraq ketika merasmikan Muktamar Dewan Ulama Pas Kelantan baru-baru ini.

Kata beliau, perebutan kuasa dalam Pas semakin ketara hingga ada individu sanggup memberikan 'hadiah' kepada perwakilan untuk mendapat sokongan. Individu tersebut adalah golongan yang sama dengan apa yang disifatkan oleh Nik Abduh sebagai "pejuang nafsu''.

Pastinya mereka berdua amat menyedari pendedahan tersebut akan mencetuskan kontroversi dan memberikan impak besar daripada segi persepsi umum terhadap Pas. Parti itu dilihat sebagai parti yang seolah-olah tidak pernah dicemari sebarang 'dosa' walaupun sudah hampir berusia 58 tahun.

Pada masa yang sama, Husam yang dilihat oleh ramai sebagai sasaran utama serta dilabelkan sebagai pro-Anwar atau golongan "Erdogan", membangkitkan isu "hubungan sulit Pas-UMNO" sebagai langkah mempertahankan diri.

Isu itu mendapat sokongan daripada golongan muda dalam Pas terutama pemimpin dari Dewan Pemuda Pas. Husam dilihat sebagai pemimpin masa depan parti itu disebabkan "kelicikan serta kebijaksanaannya" dalam politik tanah air.

Bagaimanapun sumber dalaman Pas memberitahu, cara Husam berpolitik persis Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, sangat membahayakan Pas. Justeru, Exco kanan kerajaan Kelantan itu perlu disekat daripada terus mara untuk menyandang jawatan nombor dua parti berkenaan.

Kata sumber itu, peranan itu mesti dimainkan oleh Mohd. Amar dan Takiyuddin bagi memastikan Husam dapat disekat sepenuhnya.

Perlu diingat, kesemua watak pemimpin Pas di negeri ini akan menjadi ukuran dan penanda aras bagi mencorakkan parti itu di peringkat nasional.

Mereka mempunyai personaliti yang kuat untuk mempengaruhi perwakilan yang akan hadir pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-55 di Shah Alam pada 4 sehingga 7 Jun ini.

Para perwakilan tentunya bijak untuk menilai dan meneliti setiap kenyataan yang dibuat oleh pemimpin mereka terutama Mat Iraq dan Nik Abduh yang jujur memberikan teguran untuk memastikan parti berada di landasan yang benar.

Biarpun kenyataan mereka berdua dinafikan oleh kepimpinan tertinggi Pas termasuk presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kebenaran dan asasnya tetap ada. Masakan pokok bergoyang jika tidak ditiup angin?

Pastinya, Mat Iraq dan Nik Abduh yang alim serta berpengetahuan tinggi dalam bidang agama tidak berbohong. Mereka bercakap demi kebenaran walaupun hakikatnya, kebenaran itu kadangkala amat menyakitkan.

Kedua-dua mereka juga pasti sedar, kenyataan negatif seperti itu pasti akan menyebabkan keyakinan serta pengaruh mereka akan terhakis.

Bagaimanapun, mungkin atas desakan pimpinan tertinggi, Nik Abduh dengan nada kecewa berkata, beliau tidak akan lagi menulis perkara-perkara yang memburukkan parti. Ini kerana matlamatnya untuk membuka mata semua pihak tentang masalah yang dihadapi oleh Pas telah tercapai.

Pas sewajarnya menerima hakikat mereka sedang dilanda 'wabak'. Mereka seharusnya terbuka dan menerima segala kritikan seperti mana UMNO yang bersikap lebih liberal. Tidak keterlaluan dikatakan Pas kini berdepan dengan situasi seperti "paku dulang paku serpih, mengata orang kita yang lebih".

Atau mungkin juga seperti kata-kata seorang pemerhati politik, "watak-watak ini hanya mencipta ribut dalam cawan, tetapi tidak setitik air pun tumpah keluar".

Mungkin juga ini merupakan satu strategi Pas untuk berada di pentas media perdana dan mengalihkan tumpuan umum terhadap usaha pembaharuan yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

0 comments: