Semarak industri perbukuan tempatan
Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
rencana@utusan.com.my
IDEA menghimpunkan pihak yang terbabit dalam industri perbukuan di bawah satu bumbung seperti saranan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin menyuntik semangat baru kepada industri itu di negara ini.
Sejak kebelakangan ini, industri buku negara menunjukkan perkembangan positif dengan pelbagai potensi yang membolehkannya dibangunkan dengan pesat.
Negara mempunyai tidak kurang daripada 200 syarikat penerbitan buku. Sejumlah 6,000 hingga 7,000 judul baru diterbitkan saban tahun. Statistik itu pada dasarnya menunjukkan peningkatan.
Ia membayangkan bahawa kita sebenarnya tidak ketandusan anggota masyarakat yang cintakan ilmu pengetahuan. Namun, ia juga jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan beberapa negara khususnya di rantau Asia.
India misalnya menerbitkan kira-kira 70,000 judul buku setahun menerusi pembabitan 15,000 syarikat penerbitan.
Korea pula menerbitkan lebih 35,000 buah buku setahun. Memang tidak adil untuk membandingkan Malaysia dengan negara-negara itu memandangkan jumlah penduduk yang sangat jauh berbeza.
Namun, kejayaan India dan Korea serta negara lain menjadi pusat perbukuan dunia tidak tercapai dalam sekelip mata. Ia merupakan usaha berterusan pelbagai pihak termasuk kerajaan dan swasta serta semestinya orang ramai.
Usaha India menjadi pusat pengembangan ilmu utama di Asia menerusi penerbitan buku bermula sejak 1957. Ia hasil penubuhan National Book Trust (NBT) yang diilhamkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Jawaharlal Nehru.
NBT kini diletakkan di bawah Bahagian Pendidikan India, sama seperti yang dirancang bagi Kota Buku yang akan diselenggarakan oleh Kementerian Pelajaran.
Satu fungsi NBT ialah menghasilkan buku dan mendorong syarikat penerbit menghasilkan buku pada harga mampu milik oleh pembaca kebanyakan.
Isu harga buku meskipun tampak kecil hakikatnya memberikan impak yang sangat besar kepada perkembangan industri perbukuan di kebanyakan negara. Relatifnya harga di negara ini masih tinggi.
Buku-buku tempatan terutamanya selain genre komersial dijual pada harga yang menyebabkan pembeli terpaksa berfikir panjang. Itu belum dikira buku-buku yang diimport.
Polemik harga buku ini tidak sepenuhnya dicetuskan oleh penerbit yang cuba mendapatkan keuntungan berlipat kali ganda. Tetapi saiz industri yang kecil menyukarkan penerbit menyerap kos percetakan dan penerbitan.
Kerana itu, langkah kerajaan menghimpunkan semua pihak dalam industri perbukuan menerusi Kota Buku diharap dapat mengembangkan saiz industri buku.
Dengan suntikan modal atau dana yang lebih besar serta produktiviti penerbitan buku yang lebih tinggi, maka kos-kos percetakan juga dapat dikurangkan. Ia diharap dapat menurunkan harga buku dan menarik orang ramai membeli.
Semarak industri perbukuan di India juga membolehkan negara itu menjadi satu-satunya negara di dunia yang diberikan penghormatan sebagai "tetamu kehormat" pada Pameran Buku Antarabangsa Frankfurt sebanyak dua kali dalam tempoh 20 tahun.
Tidak mustahil, dengan dasar dan pendekatan sama seperti NBT, Kota Buku negara juga boleh memacu Malaysia mencapai penghormatan yang diberikan kepada India itu, satu hari nanti.
Lebih utama, kewujudan Kota Buku juga diharapkan dapat menyemarakkan amalan membaca di kalangan rakyat Malaysia seterusnya mengangkat negara sebagai tamadun berteraskan kepandaian ilmu pengetahuan.
0 comments:
Post a Comment