Usah ikut rentak sumbang pembangkang

Usah ikut rentak sumbang pembangkang

Oleh Abdul Rahman Sulaiman
rahmansulaiman@yahoo.com

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd
Yusof melawat Dewan Perdana di Institut Kemahiran Belia Negara
(IKBN) di Bukit Mertajam, kelmarin yang bakal dijadikan tempat
penamaan calon DUN Penanti pada 23 Mei ini.


Mesej BN untuk Penanti perlu diperluas kepada setiap sudut tindakan pada masa depan

"AWAK bebas untuk meneruskan antik dan gelagat awak yang tidak beretika. Kami tidak akan melarang. Kamu boleh terus menerus menabur umpan dengan jerat buluh sembambu yang reput. Kami tidak akan mendekatinya lalu terperangkap. Teruskanlah dengan kegilaanmu berpesta dan menari dengan nada sumbang. Kami tidak akan turut serta. Lambat laun, kamu pasti akan keletihan dengan lutut menggeletar dan akhirnya tersungkur ke bumi."

Mungkin inilah kesimpulan mesej yang cuba disampaikan oleh pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Rakyat, khususnya Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, apabila Dewan Tertinggi BN dalam mesyuaratnya awal minggu ini memutuskan secara sebulat suara untuk tidak turut bertanding pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti di Pulau Pinang pada 31 Mei ini.

Kalau betul ini mesej yang cuba diterapkan, ia adalah satu strategi dan pendekatan yang cukup baik dan tidak harus terhad kepada menghadapi pilihan raya kecil di Permatang Pauh saja. Ia perlu diteruskan dalam setiap pendekatan dan respons kepada sebarang tindakan, gelagat atau kerenah tidak sihat yang cuba dipamerkan kepada masyarakat oleh pemimpin pembangkang, mulai sekarang.

Semua orang tahu bahawa pilihan raya kecil Penanti tidak perlu. Ia sengaja dipaksa untuk menjadikan fikiran rakyat sentiasa berserabut dengan isu politik yang tidak berkesudahan ketika tumpuan sepatutnya diberikan kepada kedudukan ekonomi negara yang sedang menuju kemelesetan akibat suasana ekonomi global yang masih tidak menentu.

Pilihan raya kecil paksaan itu juga dimaksudkan untuk dijadikan pentas untuk terus menerus membelasah kerajaan dengan pelbagai dakyah dan fitnah di samping bagi menyelesaikan masalah dalaman dihadapi PKR sendiri.

Anehnya orang yang dijadikan mangsa dalam skim politik pemimpin PKR itu ialah bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohamad Fairus Khairuddin yang terpaksa mengosongkan kerusi Penanti yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-12 lalu tetapi kini senyap sunyi ibarat tikus jatuh ke atas beras walaupun pada mulanya beliau kelihatan agak garang.

Apa pun, itu adalah masalah dalaman PKR sendiri yang bukan niat rencana ini untuk menyentuh. Apa yang ingin ditekankan di sini ialah matlamat asal pembangkang di sebalik pengosongan kerusi Penanti itu.

Andainya BN meletakkan calonnya bertanding dan kalah, maka kekalahan itu akan diuar-uarkan ke seluruh dunia untuk memberi gambaran kepada orang luar bahawa kerajaan BN sekarang sudah tidak relevan lagi kerana pembangkang semakin kuat dan pasti akan mengambilalih pemerintahan di Malaysia selepas Pilihan Raya Umum ke-13 yang perlu diadakan menjelang 2013, kurang empat tahun daripada sekarang.

Sehingga itu, lebih ramai wakil rakyat pembangkang, khususnya daripada PKR, akan dipaksa meletakkan jawatan untuk membolehkan pilihan raya kecil diadakan supaya rakyat terus kehilangan fokus dan 'dikenyangkan' dengan isu yang tidak kena mengena secara langsung dengan kehidupan harian mereka.

Begitulah mudahnya menjadi pembangkang dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi kalau mereka memilih untuk tidak bertanggungjawab atau menyalahgunakan sistem itu. Bagaimanapun, oleh kerana kini BN sudah memutuskan untuk tidak melayan kerenah berkenaan, sedikit sebanyak rancangan kotor pembangkang itu terbantut.

Itulah sebabnya kenapa mereka beria-ia benar memperlekehkan keputusan BN berhubung pilihan raya itu. Sepatutnya pemimpin BN tidak perlu menjawab tuduhan terbabit kerana seperti dijelaskan oleh Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, keputusan sudah pun dibuat dengan alasan yang kukuh.

Memanjangkan perkara itu akan hanya membawa mereka terperangkap dengan permainan politik pihak lawan. Kesilapan yang pernah dilakukan oleh pemimpin BN ketika pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dulu ialah mereka terlalu mengikut rentak pembangkang. Pemimpin dan anggota parti pada peringkat bawahan pula, terutama yang malas atau sengaja tidak mahu mendapatkan maklumat yang tepat dan betul, terlalu mudah berasa bersalah.

Akibatnya, mereka terpengaruh dengan dakyah dan pembohongan yang disebarkan lalu turut menyalahkan kerajaan atas segala-galanya sehingga akhirnya tiada sesuatu yang baik dilakukan kerajaan. Kalau diamati strategi dan taktik diamalkan pembangkang sekarang, khususnya oleh Penasihat PKR, mereka masih meneruskan pendekatan serupa.

Mereka menjadikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai sasaran serangan utama. Setiap tindakan dan keputusan beliau dipertikaikan dan diwarnai dengan pelbagai warna yang gelap dan penuh prasangka. Kenyataan beliau, diputarbelitkan untuk memberi gambaran seolah-olah ia hanya retorik tanpa sebarang makna.

Sebagai contoh konsep 1Malaysia diputarbelitkan sebagai 'Malaysian Malaysia' untuk menimbulkan kemarahan di kalangan orang Melayu. Langkah kerajaan memperkenalkan pakej rangsangan untuk menangani krisis kewangan sekarang disifatkan sebagai penipuan kerana kononnya kerajaan tidak mempunyai wang.

Alasan yang digunakan ialah sebelum ini kerajaan pernah membatalkan pembelian helikopter untuk kegunaan angkatan tentera kerana ketiadaan wang. Hakikat bahawa pembelian itu hanya ditangguhkan sementara untuk memberi keutamaan kepada projek yang lebih mendesak untuk rakyat langsung tidak dihiraukan.

Pendekatan yang serupa juga digunakan untuk mengaburi mata rakyat berhubung kemelut politik di Perak. Konon ceritanya kegelojohan dan sifat tamak kuasa BN yang menyebabkan kemelut sekarang.

Hakikat bahawa perkembangan di Perak adalah penghujung kepada permainan politik yang dimulakan oleh pemimpin nombor satu PKR selepas pilihan raya umum tahun lalu, secara mudah mahu dilupakan.

Malangnya ada juga pemimpin BN terpengaruh dengan dakyah ini. Untuk mereka ini, percayalah bahawa peluang untuk BN akan terus berkuasa di Perak sehingga pilihan raya umum akan datang adalah cerah.

Ramai peguam berpendapat BN mempunyai kes kukuh dalam rayuan yang akan didengar oleh Mahkamah Rayuan hari ini berhubung kedudukan Menteri Besar. Apa pun BN perlu menukar taktik kalau mahu terus berkuasa selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti. Tidak menari mengikut rentak pembangkang, tidak bermakna mereka boleh berdiam diri.

Sebaliknya, mereka perlu meneruskan usaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat dan membangunkan negara tanpa terlalu bimbang dengan taktik pembangkang. Najib dan timbalannya sudah pun memulakan langkah ini.

Usaha selanjutnya ialah untuk setiap Menteri, Timbalan Menteri, pemimpin di peringkat negeri dan bahagian menyusuri rentak yang dimulakan. Selebihnya, mereka perlu bertawakal, jangan menyalahgunakan kuasa atau mempermainkan agama. Lambat laun rakyat pasti dapat membezakan antara kaca dengan permata.

Sekali sekala, segala keburukan dan pembohongan yang disebarkan pembangkang perlu juga didedahkan kepada umum termasuk masyarakat antarabangsa seperti dilakukan Menteri Luar, Datuk Anifah Aman di New York baru-baru ini. Apabila kena buku dengan ruas, mereka pasti akan menggelabah.

Datuk Rahman Sulaiman ialah bekas Ketua Pengarang Bernama

Di PERAK, walaupon BN sudah kalah tetapi kerana terlalu tamakkan kuasa, sanggup menubuhkan kerajaan hanya dengan ' kemenangan ' ADUN lompat

0 comments: