Misi menangi hati rakyat

Misi menangi hati rakyat

Oleh ZULKIFLEE BAKAR


"AHLI-AHLI parti perlu sedar bahawa kita tidak boleh berasa selesa bahkan tempoh ini perlu diibaratkan seperti 'telur di hujung tanduk' yang menuntut semua ahli bekerja dengan bersungguh-sungguh.''

Demikian peringatan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad lalu kepada ahli-ahli UMNO mengenai tempoh tiga tahun sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Muhyiddin membuat peringatan itu kerana tidak mahu ahli-ahli UMNO terus leka tanpa menyedari cengkaman politik parti tersebut sedang diancam habis-habisan oleh parti pembangkang.

Siang dan malam, sama ada melalui alam nyata atau maya, pembangkang terus melakukan pelbagai gerakan dengan tujuan memburuk-burukkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

Justeru dalam tempoh tiga tahun, jika BN dan UMNO gagal mematahkan serangan pembangkang atau membuat persiapan rapi menjelang PRU13, maka ia boleh mengakibatkan tampuk kekuasaan negara berpindah tangan. Sebenarnya, dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi dan dengan kuasa penentu sesebuah kerajaan terletak di tangan rakyat, tidak mustahil pemindahan kuasa boleh berlaku.

Oleh itu, ahli-ahli UMNO tanpa mengira kedudukan sama ada berjawatan atau tidak, harus memahami bahawa tiga tahun menjelang PRU13 seperti mana kata Muhyiddin adalah "tempoh kritikal".

Mereka tidak boleh lagi bersenang lenang dan hanya turun menemui rakyat apabila menjelang pilihan raya.

Senario politik negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) sudah tidak lagi mengizinkan UMNO untuk berpeluk tubuh dan membiarkan pembangkang dengan agenda politik mereka.

Oleh itu, sewaktu BN melalui kerajaan yang diterajuinya berusaha memenangi hati rakyat dengan melaksanakan pelbagai program pembangunan, ahli-ahli UMNO pula harus menjadi penyebar khabar kepada apa yang sedang diusahakan oleh kerajaan BN.

Untuk tempoh tiga tahun akan datang, BN dan UMNO harus dilihat relevan dan bukannya akan ditamatkan riwayatnya pada PRU13 nanti. Bagi tujuan itu tidak ada cara lain yang boleh dilakukan oleh UMNO selain berusaha memenangi semula hati dan fikiran rakyat untuk kembali menyokong parti itu.

Tidak kiralah sama ada sesebuah negeri itu dikuasai oleh BN atau pembangkang, usaha dihitung sama ada sesuatu kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) ditakluk oleh BN atau tidak, apa yang penting misi utama UMNO kini ialah meraih kembali sokongan rakyat.

Memenangi hati dan minda rakyat, itulah misi utama UMNO sekarang selain berusaha memantapkan semangat juang dalam parti. Segala perancangan bagi meningkatkan keupayaan UMNO tidak bermakna kalau rakyat tidak menyokong. Jika ahli-ahli UMNO benar-benar sayangkan parti itu, maka mereka akan menjadikan tempoh tiga tahun ini sebagai gelanggang bagi memastikan panjipanji parti itu terus tegak di bumi Malaysia ini.

Dalam soal ini, keikhlasan, kejujuran dan pengorbanan pemimpin dan ahli UMNO amat dituntut. Pada masa ini kita harus mengakui orang berasa muak dengan UMNO terutamanya generasi muda. Mereka lebih suka mendengar apa kata pembangkang biarpun ia hanyalah propaganda.

Semua itu tidak menjadi soal kerana ia berpunca daripada kegagalan UMNO sendiri untuk berusaha memperbaiki diri.

Oleh itu, peringatan Muhyiddin adalah tepat pada masanya, UMNO tidak boleh terus leka dan lalai sedangkan dari semasa ke semasa pembangkang terus meracuni fikiran rakyat melalui pelbagai sudut.

Pembangkang sudah berjaya menampakkan diri mereka paling bersih apabila berlaku politik wang dalam UMNO, pembangkang dilihat "lebih demokrasi" apabila ingin membubarkan Dewan Undangan Negeri Perak dan pembangkang juga dilihat lebih relevan berbanding BN dan UMNO.

Persoalannya, apakah gambaran mengenai pembangkang itu benar? Apakah kerana mereka pembangkang maka apa juga yang mereka katakan adalah betul? Kita juga harus bertanya sejauh mana pula persiapan BN dan UMNO untuk membuktikan hakikat sebaliknya.

Lihat sahaja apa yang berlaku di Perak, UMNO dilihat terlalu lambat untuk bertindak memberi penjelasan kepada rakyat sedangkan pembangkang di negeri itu bergerak sepanjang malam untuk menggambarkan kononnya mereka teraniaya dan menjadi mangsa rampasan kuasa oleh BN.

Mungkin kenyataan mereka tidak betul, tetapi apa yang UMNO dan BN lakukan bagi menafikannya? Apakah hanya melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) atau laman web sahaja sedangkan berapa ramai sangat yang ada kemudahan Internet di rumah mereka.

Rakyat mahu mendengar secara langsung dari mulut pemimpin UMNO sendiri mengenai kedudukan sebenar dan bukannya hanya bergantung kepada kecanggihan teknologi atau alam maya semata-mata.

Kita tidak menafikan bahawa alam siber adalah penting tetapi ia hanyalah salah satu alat, penerangan secara bersemuka juga perlu dilakukan seperti mana dilaksanakan oleh pembangkang.

Dalam tempoh tiga tahun yang dianggap kritikal ini juga, pemimpin-pemimpin UMNO di semua peringkat harus mengubah sikap mereka. Ini kerana penulis diberitahu ada sesetengah ketua bahagian yang langsung tidak turun ke bahagian selepas menang pada pemilihan baru-baru ini.

Malah tiada sebarang aktiviti berkaitan dengan rakyat dilakukan. Semua itu hanya akan memudaratkan lagi kedudukan UMNO dalam usaha meraih sokongan rakyat apatah lagi di kawasan yang dikuasai oleh pembangkang.

Pemimpin-pemimpin UMNO di peringkat akar umbi harus benar-benar merasai denyut nadi rakyat termasuklah di kalangan ahli UMNO. Rakyat harus berasa mereka diutamakan seperti mana slogan kerajaan BN, "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

Jika pemimpin-pemimpin di peringkat bawah hanya bersikap "syok sendiri'' sedangkan minda rakyat pada setiap masa terus disumbat dengan propaganda oleh pembangkang, maka tidak mustahil pada pilihan raya akan datang, kawasan yang dikuasai oleh UMNO pun boleh terlepas ke tangan pembangkang.

Bermula dari saat ini, para pemimpin dan ahli UMNO seharusnya memahami bahawa tempoh tiga tahun menjelang PRU13 adalah penentuan hidup atau mati parti induk Melayu itu.

Justeru dalam mesyuarat-mesyuarat bahagian yang diadakan, tumpuan harus diberikan kepada usaha melahirkan idea-idea bernas tentang bagaimana boleh memperbaiki kedudukan parti di kalangan rakyat.

Hakikatnya, rakyat memang yakin bahawa BN, satu-satunya parti yang boleh mentadbir negara ini dengan baik sejak awal kemerdekaan lagi tetapi rakyat juga adalah manusia biasa. Mungkin akibat dipengaruhi oleh pembangkang, mereka boleh membuat keputusan di luar dugaan.

Apa pun andaian yang dibuat terserahlah kepada pemimpin dan ahli UMNO menentukannya. Peringatan sudah diberikan bertalu-talu, pelbagai laungan sudah diluahkan termasuklah "berubah atau diubah". Kalau mereka belum sedar juga mengenai bahaya yang menanti, maka mereka juga tidak perlu menangis jika kuasa terlepas daripada genggaman.

Percayalah PRU13 adalah sasaran utama pembangkang untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara. Mereka tidak melihat satu dua negeri atau tiga empat kerusi Parlimen, tetapi memastikan pentadbiran kerajaan di Putrajaya bertukar tangan.

Relakah ahli-ahli UMNO melihat semua itu berlaku? Tepuk dada tanyalah selera.

0 comments: