Dengan ganjaran lebih daripada RM50,000 apabila bersetuju meminjamkan rahim untuk pasangan yang inginkan anak, ia satu berita gembira buat gadis-gadis miskin di China.
SEMAKIN China berkembang maju, bilangan pasangan tidak subur yang mencari ibu tumpang untuk mengandungkan anak mereka juga kian bertambah.
Sebelum ini, pihak berkuasa tidak mengambil peduli tentang industri 'rahim untuk disewa' secara haram yang dilihat mencabar undang-undang memiliki anak yang ketat di China.
Kini, kerajaan mula ingin mengawalnya dengan memaksa ibu-ibu tumpang menggugurkan kandungan mereka. Namun, ada yang melihat cara pihak berkuasa itu terlalu keras.
Di bandar Guangzhou, tiga orang ibu tumpang muda yang hamil buat kali pertama berjaya dikesan di sebuah rumah flat kongsi.
Tidak lama kemudian, pegawai Keselamatan dan Perancang Keluarga Daerah menyerbu flat tersebut dan wanita berkenaan dibawa ke hospital berhampiran.
"Kami dipaksa masuk ke wad bersalin," cerita ibu-ibu itu kepada Reuters.
"Saya menangis dan tidak mahu melakukan semua ini," kata seorang gadis bernama Xiao Hong, 20, yang mengandung anak kembar berusia empat bulan.
"Tetapi mereka tetap menarik saya dan mencucuk perut saya dengan jarum," ceritanya tentang penderitaan yang dialaminya lewat Februari lalu apabila dipaksa menggugurkan kandungan.
Gadis yang enggan memberitahu nama penuhnya kerana bimbang dikenakan hukuman memberitahu, seorang lelaki memaksanya menurunkan cap jari di atas borang keizinan sebelum dia menjalani proses pengguguran.
Seorang lagi ibu tumpang dari sebuah kampung di wilayah Sichuan menceritakan bagaimana dia dipaksa oleh para pegawai untuk mengambil pil dan mengeluarkan janinnya yang berusia tiga bulan menerusi pembedahan ketika dia tidak sedarkan diri.
"Saya sangat takut," katanya yang berusia 23 tahun.
|
|
Jurucakap Suruhanjaya Perancang Keluarga Daerah Guangdong, Zhong Qingcai enggan ditemuramah oleh Reuters, tetapi menyatakan pihak berkuasa sedang menyiasat aduan-aduan tersebut.
Akhbar rasmi Guangzhou Daily memetik para pegawai perancang keluarga daerah dengan menyatakan semua wanita itu tidak berkahwin dan bertindak selaku ibu tumpang haram.
Ia turut menambah tiga orang ibu tumpang itu 'bersetuju' untuk menjalani 'rawatan' yang mematuhi undang-undang.
Tetapi ketua agensi yang menjaga kebajikan ibu-ibu itu meraguinya.
"Ini adalah jenayah yang nyata," kata Lu Jinfeng, pengasas laman web China Surrogate Mother beralamat www.aa69.com sejak lima tahun lalu.
Katanya, beliau tidak pernah berdepan dengan masalah sebegini sebelum ini.
"Memaksa orang untuk menjalani pengguguran adalah tindakan kejam yang melanggar undang-undang dan hak asasi manusia,"ujarnya.
Sejak insiden itu, banyak laporan media arus perdana menyifatkan margin keuntungan perniagaan ibu tumpang ini 'lebih menguntungkan daripada aktiviti penjualan dadah'.
Kenyataan itu membuatkan para pemerhati menjangka pemantauan lebih ketat pada masa akan datang dilaksanakan.
"Apabila anda membaca laporan sebegini, ia seakan-akan satu bentuk pendidikan kepada masyarakat dan menjadi petunjuk bahawa kerajaan akan melakukan sesuatu," kata pakar isu perancangan keluarga China dari Universiti Baptist Hong Kong, Siu Yat-ming.
"Orang ramai semakin peka dengan situasi ini. Banyak agensi (yang mengendalikan ibu tumpang) menjana pendapatan tinggi seperti satu industri yang terancang," tambah Yat-ming.
Rangkaian haram antara ejen ibu tumpang, hospital dan doktor telah merebak sejak tahun-tahun kebelakangan ini, berikutan pasangan yang tidak subur mencari wanita untuk mengandungkan bayi mereka.
Ibu-ibu tumpang ini biasanya disembunyikan di rumah-rumah flat pada hampir sepanjang tempoh mengandung bagi mengelak daripada dikesan.
Nisbah satu daripada enam pasangan di Amerika Syarikat kini dijangka tidak subur dan kadar yang sama dapat dilihat di China berikutan gaya hidup moden yang semakin meluas.
Keadaan ini membuatkan agensi-agensi ibu tumpang mula merekrut gadis yang biasanya datang dari daerah miskin untuk mengandung bagi pihak ibu bapa kaya dan fenomena itu dilihat kian bertambah.
Sukar untuk menyatakan angka atau saiz sebenar industri tersebut. Tetapi laporan terkini akhbar Southern Metropolis Weekly menganggarkan terdapat sekitar 25,000 orang anak yang dikandung oleh ibu tumpang telah dilahirkan.
Akhbar itu menyatakan angka tersebut diperoleh daripada laman web agensi ibu tumpang yang diberi oleh pihak berkuasa perancangan keluarga.
Ratusan agensi ibu tumpang disenaraikan secara terbuka dalam enjin carian seperti Baidu. Laman web ini menarik minat para pelanggannya dengan imej-imej ibu mengandung dan pop-up windows yang membolehkan mereka berbual secara langsung.
Dalam beberapa laman web, ibu-ibu tumpang ini dipilih secara terbuka dan dibayar antara 50,000 hingga 100,000 yuan (sekitar RM51,275).
Ini sekali gus menjadikannya satu profesion lumayan buat anak-anak gadis dari keluarga miskin di negara yang purata pendapatan perkapita tahunannya (penduduk luar bandar) hanya sekitar AS$600 (RM21,000).
Ketika komplikasi emosi, etika dan perundangan menjadikan ibu tumpang satu topik yang enggan dibincangkan di banyak negara, trend itu sebenarnya semakin berkembang di seluruh dunia. India misalnya telah menjadi hab mendapatkan ibu tumpang bagi pasangan tidak subur dan gay di negara barat.
"Ada jutaan manusia di luar sana yang mahukan anak tetapi tidak mampu," kata seorang pakar bio-etnik dari Pusat Perubatan Universiti Columbia New York, Robert Klitzman. - Reuters
0 comments:
Post a Comment