|
|
KEPESATAN industri penerbitan hari ini tidak dapat dibandingkan dengan keadaan industri 10 tahun lalu. Syarikat-syarikat penerbitan muncul dan berkembang bagai benih ditabur di atas tanah subur selepas hujan.
Walaupun keadaan ekonomi yang meleset sekarang mempengaruhi gaya pembelian pencinta buku dan menjadikan mereka lebih berhati-hati memilih dan membeli produk, industri penerbitan tidak merasakan kesan yang terlalu teruk. Sebaliknya, industri ini terus berkembang pesat.
Ini kerana pencinta buku adalah pembeli yang setia. Minda mereka tetap mahu diisi sedang rak buku mereka tetap mahu dipenuhi dengan koleksi terbaru, walaupun wang poket agak terjejas.
Apalagi industri ini tidak menghadapi ancaman seperti industri muzik dan filem. Tiada lagi pihak yang komited untuk mencetak rompak bahan-bahan bacaan.
Oleh sebab kepesatan ini jugalah penerbit akan menerbitkan apa sahaja. Namakan apa genre yang belum ditulis di Malaysia. Kita ada bahan bacaan seram-tahyul, komentari sosial, memoir duka, travelog suka ria, panduan buat sendiri (DIY), motivasi, fiksyen sains, fantasi, fantasi-sejarah, komik, novel grafik, agama, rumah tangga, kesenian, fesyen, dan banyak lagi.
Jika seseorang mahu menulis buku, walaupun ideanya suam-suam kuku, ia boleh dijayakan. Tidak seperti di Barat yang memerlukan sesuatu manuskrip diperakukan oleh ejen. Ia menjadikan penulis agak mudah di negara ini. Syaratnya, manuskrip memenuhi kehendak sesebuah syarikat.
Akibatnya, industri buku kini mengalami lambakan, senario yang berbeza dengan keadaan 10 tahun lalu. Sekarang, sesiapa saja boleh menjadi penulis.
Persoalannya, bagaimana mahu menulis dan seterusnya menghasilkan bahan yang menonjol dalam kalangan lambakan buku di pasaran? Seseorang penulis bukan sahaja ingin menikmati royalti hasil penulisan, malah dia mahukan pengiktirafan sebagai penulis yang berwibawa, walaupun belum lagi setaraf dengan penulis bergelar sasterawan atau Sasterawan Negara.
Dalam keadaan inilah, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan memainkan peranan penting.
Karya yang mendapat tempat dan diisytihar sebagai pemenang dalam sayembara yang sudah berusia 24 tahun itu tentunya berbeza daripada ribuan novel yang berlambak di pasaran.
Naskhah novel remaja yang memenangi HSKU terlebih dahulu melepasi saringan ketat oleh panel penilai. Novel remaja HSKU pastinya perlu mempunyai isi dan persoalan yang dapat memisahkannya daripada novel-novel remaja lain di pasaran.
Ia pastinya terkeluar daripada persoalan konvensional dalam hidup remaja seperti pemberontakan emosi, tarikan jantina berlawanan dan halangan-halangan bercinta.
Namun, tidaklah pula bermakna novel remaja HSKU langsung tidak mempedulikan tuntutan emosi remaja. Ingat kembali, bagaimana Cempaka yang begitu mendambakan ibunya kembali kepada keluarga dalam Trilogi Cinta (Siti Jasmina Ibrahim).
Bagaimana pula dengan watak Muhammad menghadapi penderaan mental dan fizikal oleh bapanya dalam Merdekakan Cinta Ratna (Sri Rahayu Mohd. Yusop).
Boleh dikatakan setiap novel remaja HSKU memaparkan persoalan emosi dan naluri menyayangi dan disayangi dalam dunia remaja.
Namun, ia tidak terhenti di situ. Kisah-kisah yang dipaparkan membawa ideologi atau falsafah yang lebih tinggi, mengatasi emosi dan naluri. Inilah yang membezakan novel hasil sayembara ini daripada lambakan novel remaja di pasaran.
Antara ideologi yang popular dalam novel-novel HSKU ialah oksidentalisme, ataupun pandangan balas budaya Melayu dan Islam terhadap pandangan Barat yang selama ini menguasai wacana. Antara novel yang membawa ideologi ini ialah 1515, Kombat 1511 H (Faisal Tehrani) dan Odisi Tanah Kencana (Sri Rahayu Mohd Yusop). Selain itu, beberapa novel juga membawa tema perjuangan menentang penindasan Barat dan Yahudi, seperti yang terdapat dalam karya Zaid Akhtar (Sesegar Nailofar; Rona Bosphorus).
Ini hanyalah sebahagian kecil khazanah ideologi novel remaja HSKU. Ada banyak lagi yang tidak kurang pentingnya untuk diperbincangkan.
Pengisian ilmu juga adalah kekuatan novel remaja HSKU. Selain aspek emosi dan ideologi, novel-novel HSKU sarat dengan pengisian intelektual. Contohnya, paparan mendalam mengenai muzik dalam Advencer Si Peniup Ney dan sains forensik dalam Detektif Indigo (Faisal Tehrani), seni pantun dalam Warisnya Kalbu (Sri Rahayu Mohd Yusop), undang-undang dalam Mencari Locus Standi, dan sukan dalam Priiit (Alias Ismail) dan Justeru Impian di Jaring (Zaid Akhtar).
Judul-judul yang disebut di sini hanyalah sekelumit daripada senarai alumni HSKU yang panjang.
Nah, apa yang ditunggu lagi. Kepada para pembaca yang mencari bahan yang berbeza lagi berisi, segeralah meneliti novel HSKU terbitan Utusan Publications & Distributors dan perhatikan novel-novel yang bakal terbit seterusnya.
Pastinya penghayatan terhadap novel-novel ini akan memberikan kepuasan emosi, intelektual dan spiritual kepada pembaca.
0 comments:
Post a Comment