Minda Pengarang: Konsep 1Malaysia rapatkan hubungan antara kaum

Minda Pengarang: Konsep 1Malaysia rapatkan hubungan antara kaum


KENYATAAN Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung tanggapan keliru mengenai konsep 1Malaysia yang diperkenalkannya sebaik mengambil alih kepemimpinan kerajaan perlu diberi perhatian serius. Kita sedar konsep itu mengundang pelbagai pandangan dan polemik berterusan kerana ia sesuatu yang baru. Usaha Najib mengusulkan konsep membentuk satu bangsa Malaysia yang sejahtera dan makmur melangkaui tahap toleransi yang diterima umum selama ini tentunya berdepan dengan pelbagai pandangan berbeza kerana masing-masing pihak boleh bersuara berlandaskan demokrasi. Jadi tidak hairanlah, rakyat masih kabur dengan hala tuju yang ingin diketengahkan itu sebagai kesinambungan daripada dasar yang diperkenalkan kerajaan sebelum ini, yang memacu kesejahteraan, kemajuan dan pembangunan negara sejak lebih setengah abad lalu. Namun, seperti yang dikatakan Perdana Menteri sebelum ini, pengisian konsep 1Malaysia akan melalui proses evolusi bukan revolusi bagi membolehkan rakyat memahami, menghayati dan bergerak ke arah matlamat yang ditetapkan. Sebagai rakyat berbilang kaum, setiap pihak berusaha untuk mempertahankan haknya supaya tidak terhakis. Jadi jaminan kerajaan untuk tidak mengetepikan peruntukan terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan membabitkan soal bahasa, agama dan hak keistimewaan selain kontrak sosial yang selama ini menjadi pegangan semua rakyat, wajar dihargai.

Kita yakin tiada pihak akan rugi dalam pelaksanaan konsep ini kerana ia proses yang cukup panjang untuk mencapai cita-cita negara bangsa yang kita idamkan yang melangkaui batas ras dan etnik. Kemakmuran negara bergantung kepada keutuhan perpaduan 27 juta rakyat pelbagai kaum yang hampir setengah abad berjaya memacu Malaysia ke persada antarabangsa. Itulah kekuatan kita sebenarnya dan kini selepas 50 tahun merdeka, kita perlu menggerakkan semula konsep baru bagi memantapkan hubungan kaum, yang kebelakangan ini dilihat tercalar. Melalui konsep 1Malaysia, kerajaan cuba merapatkan kembali hubungan kaum yang renggang dan jika tidak ditautkan kembali ia boleh mencetuskan masalah besar pada masa depan. Usaha untuk menyatukan rakyat wajar dimulakan sekarang, perlu diberi kefahaman mencukupi supaya rakyat sedar akan kewajaran tindakan kerajaan itu. Dalam pada itu, rakyat pula janganlah terlalu mendesak kerajaan supaya memenuhi tuntutan mereka saja sehingga menyebabkan pihak lain berasakan hak mereka terhakis. Malah, peringatan Najib supaya rakyat tidak menyalahgunakan konsep 1Malaysia dengan membuat tuntutan keterlaluan dan desakan tidak munasabah adalah tepat bagi mengelakkan masalah lebih besar timbul. Bagi kita dialog dan perbincangan antara pemimpin kaum dan agama, selain ahli akademik perlu diteruskan dari semasa ke semasa bagi mencari formula terbaik dalam melaksanakan konsep berkenaan. Perbincangan yang dijalankan perlu mengambil kira semua aspek dengan memberi perhatian khusus kepada pengalaman lalu sehingga membolehkan Malaysia mempertahankan kemakmurannya. Bertitik tolak daripada itu, perbincangan yang dijalankan dapat melalui proses musyawarah yang tertib supaya semua pihak berasakan mereka terbabit dalam menentukan masa depan negara.

0 comments: