Tabiat merokok di kalangan remaja, apa yang perlu dilakukan?

Tabiat merokok di kalangan remaja, apa yang perlu dilakukan?

ISU rokok bukanlah satu perkara yang baru di Malaysia. Kempen antirokok boleh dibaratkan seperti "mencurah air di daun keladi." Malah langkah kerajaan meletakkan gambar ngeri pada kotak rokok seperti tidak memberi kesan. Tidak ada perokok yang ngeri melihat gambar-gambar itu.

Penulis ingin mengajak semua pihak merenung kepada fakta yang menunjukkan bahawa 14 peratus daripada remaja di seluruh dunia adalah perokok.

Apa yang lebih menakutkan ialah di Malaysia, lebih 8 peratus daripada 4.6 juta perokok adalah remaja. Ia bermakna 50 hingga 60 orang remaja mula merokok setiap hari.

Apa yang boleh dirumuskan ialah kempen sahaja tidak memadai untuk menghalang orang merokok. Perhatian khusus perlu diberi kepada perokok-perokok baru khususnya remaja dan wanita.

Sikap angkuh remaja yang tidak lagi segan silu merokok dengan memakai uniform sekolah cukup untuk memberi isyarat agar kita melakukan sesuatu dengan segera.

Saya rasakan antara langkah yang boleh diambil oleh kerajaan ialah:

n Pertama, penguatkuasaan undang-undang dengan lebih ketat. Walaupun terdapat lebih 20 lokasi yang disenaraikan sebagai kawasan larangan merokok, namun masih ramai yang tidak mempedulikannya. Contohnya di restoran dan hentian pengangkutan awam. Mungkin pihak penguatkuasa perlu menambah bilangan anggota untuk membuat pemantauan dan mengenakan denda lebih tinggi.

n Kedua, cadangan oleh Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), SM Mohamed Idris iaitu supaya menaikkan usia minimum untuk membeli produk tembakau kepada 21 tahun. Ia sesuai diguna pakai di Malaysia. Peringkat umur ini disifatkan sebagai matang.

n Ketiga, ibu bapa dan guru perlu memainkan peranan. Mereka perlu menjadi teladan. Jangan menjadi seperti "ketam mengajar anak berjalan betul". Bayangkan jika ibu atau bapa atau guru meminta anak-anak tidak merokok tetapi mereka sendiri adalah perokok. Di mana sifat kepimpinan melalui teladan?

n Keempat, pemantauan berterusan daripada semua unit penguatkuasa terhadap kedai atau premis yang menjual rokok.

Bagaimanapun, isu rokok ini seolah-olah tidak ada kesudahannya. Walaupun harga dinaikkan setiap tahun tetapi bilangan perokok tetap bertambah.

Penambahan itu seperti bersaing dengan kenaikan harga rokok, malah lebih menakutkan ialah kemunculan pelbagai jenama rokok seludup. Ia lebih berbahaya kerana tiada kawalan atas jumlah tar dan nikotina dalam setiap batang rokok berkenaan.

Mungkin untuk mencadangkan agar rokok diharamkan terus demi untuk menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia akan dianggap sesuatu yang tidak logik. Tetapi pakar-pakar ekonomi mungkin boleh memikirkan sesuatu untuk menggantikan sumber daripada hasil cukai dan eksais yang dikenakan ke atas tembakau.

Jika ini dapat dilakukan, pastinya kerajaan akan dikenang dan dicatatkan dalam lipatan sejarah selaras dengan konsep liberalisasi dan transformasi yang direncanakan.

Bagaimanapun usaha untuk menanamkan idea antirokok ketika ini bukan lagi kepada "Tak Nak" tetapi mestilah "Benci Rokok".

Dan ia tidak hanya terletak di bahu kerajaan semata-mata. Sebaliknya semua pihak perlu melakukannya. Tugas untuk menyelamatkan remaja-remaja kita daripada menjadi ketagihan merokok adalah tanggungjawab kita semua.

MOHAMMAD ISMAIL

Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM), Perlis

0 comments: