Kemelut politik Umno Terengganu masih jauh daripada penyelesaian
Oleh Abdul Halim Yusoff
bhkt@bharian.com.my
SELEPAS sesi bertentang mata dan mencurah rasa hati antara Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan semua lapan ketua bahagian Umno negeri dengan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein di Putrajaya pada malam Rabu lalu, mungkinkah kemelut politik negeri itu yang meletus sejak lebih setahun lalu sudah berakhir dan keadaan kini adalah status quo.
Jika begitulah keadaannya, maka Datuk Ahmad Said, Adun Kijal yang dipilih sebagai Menteri Besar pada Mac 2008 bagi menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh yang tidak dilantik semula selepas Pilihan Raya Umum Ke-12, sudah bebas daripada tekanan kumpulan penentang dan kini dapat meneruskan pentadbiran kerajaan negeri tanpa gangguan.
Bagaimanapun, berdasarkan kritikan yang dihamburkan kepada kepemimpinan Ahmad dalam sesi pertemuan dengan Hishammuddin baru-baru ini, biarpun selepas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada minggu lalu menyatakan Umno belum membincangkan mengenai pertukaran Menteri Besar yang didakwa pelbagai pihak di negeri ini akan berlaku dalam tempoh terdekat, kemelut politik negeri ini masih jauh untuk berakhir.
Ketika Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran membuat lawatan sehari ke Terengganu baru-baru ini, akhbar melaporkan beliau sebagai berkata kedudukan Ahmad sebagai Menteri Besar kekal kerana Umno tidak pernah membincangkan isu itu. Jadi sekarang, sama ada media tersalah tafsiran atau kenyataan itu tidak dapat diterima kumpulan tertentu yang secara terang-terangan menolak Ahmad.
Krisis politik Terengganu bermula sejak Mac tahun lalu apabila Idris atau sering dirujuk kumpulan penyokongnya sebagai DSIJ, tidak dapat dilantik semula sebagai Menteri Besar. Selepas pilihan raya umum lalu hinggalah Ahmad mengangkat sumpah, pelbagai kenyataan timbul malah pada satu peringkat 23 daripada Adun BN yang membentuk kerajaan BN di Terengganu mahu meletak jawatan jika Idris tidak dilantik semula.
DUN Terengganu mempunyai 32 kerusi dengan 24 daripadanya dikuasai BN (Umno) dan baki lapan lagi oleh Pas. Namun demikian, selepas beberapa ketika keadaan nampak reda dan Ahmad mula menyusun jentera pentadbiran serta melantik barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco). Menjelang Januari 2009, Ahmad yang semakin selesa membuat beberapa lagi perubahan termasuk merombak pegawai kanan kerajaan negeri membabitkan pelbagai pertukaran.
Keadaan yang kelihatan seperti tenang sebelum itu, rupa-rupanya tidak ubah seperti kelakuan belut elektrik yang menyelinap ke dasar laut dan duduk membatu membiarkan pemangsa yang menyangkanya lemah menggigit, sebelum bingkas bertindak.
Pemerhati politik di Terengganu berpendapat pertukaran pegawai kanan kerajaan yang walaupun dalam banyak keadaan adalah proses biasa pentadbiran, adalah pencetus kepada kumpulan penentang untuk kembali bertindak terhadap Ahmad.
Kemuncak kepada letusan semula pergeseran yang hampir setahun dipendam itu ialah pada 14 April lalu apabila tiga Adun BN membuat laporan polis selepas menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan bunuh daripada nombor telefon mudah alih milik Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) Menteri Besar.
Berikutan itu, tujuh lagi Adun yang kononnya bersimpati dengan tiga Adun berkenaan tidak hadir pada hari kedua sidang DUN, walaupun hampir semua orang yang waras maklum ia adalah tindakan memboikot sidang DUN.
SMS itu kononnya dihantar kepada Adun yang pro-DSIJ bagi mengingatkan mereka supaya tidak mengotakan khabar angin yang tersebar sebelum itu bahawa usul undi tidak percaya akan dibentangkan terhadap Ahmad pada persidangan DUN.
Bagaimanapun, siasatan polis mendapati SMS berkenaan tidak dihantar pegawai kanan Ahmad, sebaliknya bertindak menahan seorang kerani sebuah syarikat teknologi maklumat (IT) di Bandar Baru Bangi, Selangor. Selepas direman selama tujuh hari, kerani itu dipercayai mendedahkan individu yang menyuruhnya menyalah guna server Umno untuk menghantar SMS daripada komputer kepada beberapa individu tertentu, kononnya dihantar daripada nombor telefon bimbit orang lain yang mempunyai motif untuk berdendam dengan kumpulan DSIJ.
Berikutan itu, polis menahan Setiausaha Politik Idris Jusoh, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir, pada 11 Mei untuk melengkapkan siasatan sehari selepas waran tangkap dikeluarkan terhadapnya.
Selepas 'tragedi' SMS ugutan yang menyerlahkan pergeseran kumpulan DSIJ yang merangkumi hampir 90 peratus Adun BN dan Ahmad, bukan saja Umno yang cuba merungkai masalah itu tetapi juga daripada istana. Namun demikian, dalam tiga pertemuan membabitkan kumpulan DSIJ dan seorang Ahli Majlis Penasihat Pemangku Raja, penyelesaian kemelut itu masih tidak dapat direalisasikan.
Hinggalah malam Rabu lalu, Hishammuddin mengadakan dua sesi pertemuan dengan Ketua Bahagian Umno dan semua Adun BN termasuk tiga Adun yang juga ketua bahagian, iaitu bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh (Besut); Menteri Besar, Ahmad (Kemaman) dan Yahya Katib Mohamad (Marang). Sesi pertemuan membabitkan Adun pula berlangsung jam 10 malam dan berlarutan hingga hampir jam 2 pagi.
Daripada maklumat yang diterima, pertemuan dengan Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri, Rabu lalu juga tidak dapat merungkai kemelut politik Terengganu.
"Tiada jalan lain (untuk penyelesaian) melainkan pucuk pimpinan tertinggi melihat punca kemarahan majoriti Adun BN Terengganu sehingga mencetuskan kemelut itu. Mereka juga kena tengok prestasi Ahmad sebagai Menteri Besar. Ini perkara penting," kata seorang Adun ahli kumpulan DSIJ yang mendakwa kemelut itu tidak akan selesai selagi Ahmad tidak digantikan.
Difahamkan dalam pertemuan itu juga, tiga Adun - Datuk Rosol Wahid (Ajil), Zakaria Abdullah (Paka) dan Datuk Din Adam (Bukit Besi) bercakap panjang lebar mengenai kemelut politik Terengganu. Beberapa Adun lain turut mencelah, tetapi DSIJ dan Ahmad yang hadir sama dalam pertemuan itu, hanya sekadar mendengar, mungkin kerana sesi mereka bertiga dengan Hishammuddin sudah berlalu sebelum itu.
Hishammuddin dikatakan akan membuat kunjungan pertama sebagai Perhubungan Umno negeri minggu depan dan mengumumkan mengenai barisan anggota jentera perhubungan dan mengadakan pertemuan dengan setiap bahagian Umno bagi menggesa mereka merapatkan saf dan kembali kepada asas perjuangan.
Penulis ialah Ketua Biro Berita Harian, Terengganu.
0 comments:
Post a Comment