Pastikan bumiputera berjaya

Pastikan bumiputera berjaya


Rahim Tamby Chik bersalaman dengan Mohd. Noordin Abbas sambil diperhatikan oleh Norizan Sharif dan Datuk Chamil Wariya sebelum Kolokium 1Malaysia Halatuju Ekonomi Bumiputera di Risda, Kuala Lumpur, kelmarin.


SELAIN daripada pandangan ahli panel, kolokium 1Malaysia: Hala Tuju Ekonomi Bumiputera turut membuka peluang kepada peserta untuk berkongsi pandangan. Kepelbagaian latar belakang peserta yang terdiri daripada ahli perniagaan, pegawai kerajaan, ahli akademik dan pemimpin persatuan perniagaan membolehkan isu yang dibincangkan dikupas daripada sudut yang berbeza dan menarik.

Antara beberapa perkara yang menuntut penjelasan selanjutnya daripada ahli panel termasuk soal status syarikat bumiputera iaitu kumpulan bumiputera mana yang dimaksudkan. Turut dilontarkan ialah permasalahan mengenai kesukaran syarikat bumiputera mendapatkan bantuan modal. Keputusan kerajaan memansuhkan kementerian MeCD turut mengundang keresahan komuniti usahawan bumiputera.

Berikut pandangan ahli-ahli panel:

NORIZAN: Dalam soal MeCD, saya tidak hanya bercakap dalam konteks membantu usahawan bumiputera semata-mata. Kerana saya sentiasa yakin tanggungjawab ini tidak harus dibebankan kepada satu atau dua kementerian.

Apa yang saya tekankan ialah MeCD itu sebenarnya lebih kepada menyediakan peluang pekerjaan untuk orang Melayu. Ketika ramai yang bercakap mengenai institusi kewangan seperti terutama bank yang seolah-olah tidak mahu membantu usahawan Melayu, saya cuba melihat dengan meletakkan diri di pihak bank.

Jika Melayu itu dilonggokkan dengan pelbagai elemen negatif, maka saya juga agak sukar untuk meluluskan pinjaman. Jadi bagaimana kita mahu mengubah persepsi bahawa orang Melayu itu sebagai bangsa yang gagal dan sentiasa memerlukan bantuan. Hakikatnya ramai orang Melayu yang mampu menjadi usahawan berjaya.

Oleh itu bagaimana kita mahu tonjolkan kejayaan Melayu ini supaya apabila pihak bank ada keyakinan untuk membantu. Ini harus difikirkan supaya jangan dilihat Melayu itu dalam kelompok usahawan yang gagal. Saya suka mengaitkan dalam konteks belia yang man kita sering menyatakan belia itu adalah aset. Tapi cara kita melihat dan melayan belia adalah sebaliknya.

Semua yang dilakukan belia itu tidak betul sehingga kita merasakan mereka adalah liabiliti. Begitu juga yang berlaku terhadap usahawan Melayu.

Saya tertarik kepada pandangan yang mengatakan bahawa ada kegagalan dalam sistem penyampaian di antara kerajaan dengan komuniti usahawan bumiputera dan rakyat kebanyakan. Saya melihat terutamanya selepas Pilihan Raya Umum Ke-12, kerajaan seolaholah tidak tahu bagaimana caranya untuk berkomunikasi dengan rakyat.

Dalam peranan media baru kerajaan seolah-olah hilang arah dan masih bercakap tentang media arus perdana. Saya ambil contoh satu isu yang ditulis oleh media cetak dikupas daripada sudut yang berbeza oleh lebih ramai penulis blog.

Maka, kupasan di blog itu pastinya akan mempunyai pengaruh yang besar sebab ia melibatkan ramai pihak. Jadi kerajaan perlu melihat perkara ini dengan serius iaitu bagaimana untuk berkomunikasi dengan generasi X dan Y.

MOHD. NOORDIN: Saya tertarik dengan pelbagai komen yang diberikan terutamanya mengenai pelbagai masalah yang dihadapi. Apa yang boleh saya cadangkan kepada GABEM ialah permasalahan yang ditimbulkan ini bukanlah sesuatu yang asing.

Salah tanggapan atau pandangan negatif terhadap komuniti usahawan Melayu ini sememangnya serius sehingga sudah ada persepsi negatif di kalangan pihak bank terhadap mereka.

Bagi saya tanggungjawab di sini ialah bagaimana kita untuk menukar salah tanggapan ini. Apa yang perlu dilakukan untuk meyakinkan pihak bank bagi menolong usahawan bumiputera.

Kita sudah ada contoh yang mana usahawan bumiputera mampu menolong syarikat bukan bumiputera berkembang sehingga ke peringkat antarabangsa. Pastinya dengan kemampuan itu, kerajaan tidak akan teragak-agak untuk menolong mana-mana syarikat bumiputera.

Sekarang kita sudah sedia maklum masalah yang dihadapi oleh usahawan bumiputera. Maka seharusnya kita bersama-sama mencari formulasi bagaimana untuk mengubah persepsi negatif itu.

Cabarannya ialah bagaimana untuk kita mencapai kejayaan itu bukan secara mensabotaj orang lain, tetapi menerusi kredibiliti dalam apa jua yang kita lakukan seterusnya mendapat penghormatan daripada kaum lain.

Rahim Thamby Chik: Dari segi definisi istilah bumiputera, istilah majoriti itu ada 100 peratus, 49 peratus atau 30 peratus. Tapi apa yang diharapkan biarlah syarikat 100 peratus bumiputera itu menjadi lebih baik. Bagaimanapun dalam keperluan masyarakat perniagaan, adalah lebih kita menggunakan kaedah perkongsian iaitu dengan penyertaan pelbagai kaum.

Ini kerana dari segi penguasaan ekonominya, kaum bukan bumiputera adalah lebih baik. Maka boleh berlaku interaksi yang mana kaum bumiputera boleh menggunakan kepakaran, pengalaman dan kebijaksanaan kaum lain.

Keduanya kita mesti lihat dari sudut pasaran yang luas iaitu di peringkat rantau dan global. Sebab pasaran itu lebih besar dalam ia merupakan syarat bagi kita memperluaskan kek ekonomi. Kerana itu juga kita perlu pandai menggunakan bantuan yang ada.

Ketika ini bantuan daripada kerajaan sangat banyak dan berada di bawah pelbagai kementerian. Ini kadang-kadang menyebabkan masyarakat ekonomi bumiputera berasa keliru. Sebab itu saya rasakan kita perlu ada satu suruhanjaya yang menyelaras bentuk bantuan ini. Saya suka mencadangkan sekiranya Gabem menjadi satu pusat perantara yang boleh membekalkan maklumat kepada usahawan bumiputera menerusi satu portal misalnya.

Gabem bertindak dan menyelaras dengan bantuan badan-badan ekonomi lain.

Kita juga berhasrat untuk menubuhkan apa yang disebut sebagai Kelab Glokal Bumiputera (KGB). Iaitu persatuan yang menghimpunkan syarikat-syarikat bumiputera yang berjaya untuk turut bersama-sama membantu usahawan bumiputera lain.

Ini kerana tanggungjawab membantu dan mengangkat martabat masyarakat ekonomi Melayu itu tidak dipikul oleh kerajaan semata-mata.

Ahli KGB ini boleh menggunakan platform syarikat mereka untuk membantu syarikat bumiputera lain misalnya dengan menyalurkan bantuan berbentuk modal.

Menerusi KGB ini juga kita mahu membentuk menyediakan satu senarai syarikat bumiputera yang berjaya yang apabila ada projek bersaiz mega, kita boleh sarankan nama-nama mereka. Sebelum ini tidak ada pihak yang dapat menyediakan nama-mana syarikat ini kerana tiadanya satu koordinasi yang bersepadu.

Untuk itu GABEM berhasrat untuk menghubungi semua kementerian dan mendapatkan latarbelakang syarikat yang berjaya bukan sahaja untuk menjadi ahli KGB, tapi bagi membolehkan usahawan Melayu mengenalpasti dan menolong antara satu sama lain.

Sebenarnya inilah juga kejayaan kaum Cina menerusi kekuatan pertubuhan perniagaan yang mereka ada. Kerana tu kita berhasrat untuk merapatkan permuafakatan di kalangan setiap pejuang ekonomi Melayu bumiputera dan berjuang dalam satu keluarga dan pasukan. Supaya ada rangkaian bagi setiap apa yang berlaku untuk mengangkat antara satu sama lain.

Kita juga mahu ada permuafakatan antara syarikat berasaskan kerajaan (GLC) dan pegawai-pegawai kerajaan. Jika tidak sistem penyampaian kita akan hilang arah. Pembahagian projek misalnya boleh jadi diberikan kepada kroni-kroni.

Sebab itu kita mahu pegawai kerajaan yang menyedari tanggungjawab mereka supaya masyarakat ekonomi Melayu mendapat manfaat daripada perkhidmatan yang diberikan. Seterusnya dapat kita lahirkan satu sistem yang efisien, telus dan akauntabiliti.

Gerakan itu mesti efektif dan efisien dalam memastikan apa yang diluluskan pemerintah sampai kepada masyarakat ekonomi kebanyakan.

Saya juga sarankan agar kaum bumiputera melakukan jihad ekonomi. Bagi orang bukan bumiputera, perkataan jihad ini mungkin sesuatu yang ditakuti. Tapi bagi orang Islam jihad merupakan satu kewajipan.

Kita mahu melihat kecemerlangan adalah satu jihad yang harus bagi masyarakat ekonomi kita. Saya melihat politik tidak banyak membawa kesan perpaduan di kalangan kaum bumiputera. Sebaliknya peranan itu boleh dimainkan menerusi ekonomi.

Kemakmuran ekonomi akan membawa banyak faedah kepada pegangan kita. Kekuatan ekonomi juga merupakan rangsangan paling baik untuk menyumbang kepada satu perpaduan yang kukuh antara kaum di negara ini.

GABEM juga mahu menggalakkan satu syarikat dalam satu keluarga. Orang Melayu ramai yang kaya harta benda tetapi banyak juga yang terbiar. Seharusnya dalam satu keluarga itu ada sebuah syarikat yang tidak semestinya bertujuan untuk berniaga. Tetapi untuk mewujudkan budaya pengkorporatan dan memberi nilai kepada harta-harta kita.

0 comments: