Sampai bila hendak biarkan cacing naik ke mata?

Sampai bila hendak biarkan cacing naik ke mata?

PIHAK berkuasa semalam sekali lagi dicabar. Kali ini oleh pihak yang menyokong dan bersimpati dengan perjuangan pertubuhan pemberontak di Sri Lanka.

Mereka mengadakan perhimpunan haram di sebuah kuil untuk menyatakan sokongan kepada Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE). Nampaknya gerakan haram di Sri Lanka itu mendapat sokongan yang diterjemahkan dalam satu "perhimpunan haram" di sini pula.

Perhimpunan itu lebih berunsur sentimen etnik dan agama. Pihak yang ditumpaskan oleh tentera Colombo ialah etnik Tamil yang memperjuangkan kemerdekaan di utara Sri Lanka.

Namun fakta-fakta yang ada menunjukkan LTTE bukannya mendapat sokongan padu seluruh penduduk Tamil di negara itu. Ramai di kalangan etnik itu di Sri Lanka sengsara akibat pemberontakan LTTE tersebut.

Malah kerajaan India juga menganggap LTTE sebagai pertubuhan pengganas. Ia dikaitkan sebagai dalang pembunuhan bekas Perdana Menteri, Rajiv Gandhi.

Walaupun ada yang mendakwa India hanya bersandiwara - konon menyokong LTTE secara diam-diam, - biarkan sandiwara itu.

Apa yang penting, sokongan menerusi perhimpunan haram seperti yang berlaku semalam sepatutnya tidak berlaku di sini.

Namun ia tetap diadakan walaupun pihak polis memberi amaran agar tidak ada yang menyertainya. Seperti biasa, amaran itu ibarat "mencurah air di daun keladi". Mereka berasa hebat dan tidak pedulikan undang-undang.

Mereka berkumpul di kuil itu. Kali ini atas anjuran sebuah kumpulan yang menamakan diri mereka World Tamil Relief (WTR).

Perhimpunan itu khusus untuk mengecam tindakan tentera Sri Lanka yang dituduh tidak berperikemanusiaan terhadap LTTE.

Persoalannya, kenapakah kumpulan itu bersungguh-sungguh membela dan menyokong pemberontak yang disenaraikan sebagai pengganas di peringkat antarabangsa itu?

Paling mengejutkan, perhimpunan yang awal-awal lagi diisytihar sebagai haram itu turut disertai oleh individu di dalam kerajaan.

Kehadiran Timbalan Menteri Wilayah, Datuk M. Saravanan sangat mendukacitakan. Walau atas apa sahaja alasan ke majlis itu, beliau seharusnya sedar bahawa beliau telah hadir ke satu perhimpunan haram.

Sebagai orang kerajaan, beliau seharusnya bertindak dengan lebih bijak. Walaupun marah dengan tindakan Sri Lanka, pastinya ada saluran lain untuk menyatakan pendirian.

Agak pelik untuk seorang timbalan menteri, secara sengaja turut menyertai sebuah perhimpunan haram. Biar atas dasar apa sekalipun.

Saravanan seharusnya tidak mudah melatah. Sepatutnya beliau tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan ketika 'menangkap' doktor di Hospital Kuala Lumpur pada akhir bulan lalu. Cukuplah dengan kesilapan memalukan tersebut. Beliau sepatutnya lebih berjaga-jaga selepas itu. Jangan sekali lagi dimalukan.

Kini pihak polis telah pun bertindak terhadap WTR dengan membuat laporan polis mengikut Seksyen 27, Akta Polis 1967. Malah turut berjanji untuk melihat "perkara itu daripada sudut perundangan".

Kita tidak tahu pendekatan berlembut apa lagi yang akan dimainkan oleh pihak polis. Dan kini, jika ada pihak yang menuduh polis mengetepikan soal hak asasi manusia, dakwaan itu sememangnya tidak berasas.

Lihat sahaja tindakan mereka menyuraikan perhimpunan semalam. Tiada kejadian tidak diingini berlaku. Pendek kata, "hak asasi" peserta perhimpunan itu tetap dihormati.

Polis masih bersabar walaupun amaran mereka dipermainkan. Akibatnya semakin ramai yang "naik lemak dan besar kepala". Melihat insiden semalam, timbul satu persoalan, "sampai bila kita hendak biarkan cacing naik ke mata?"

0 comments: