Usia percikan darah tidak dapat dipasti

Oleh AMIRUDDIN HARUN dan NORAZLITA MOHD. SIES


Primulapathi.

SHAH ALAM 8 Okt. – Seorang ahli kimia memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau tidak dapat memastikan bilakah masanya percikan darah telah terkena pada sepasang selipar milik Koperal Sirul Azhar Umar, melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan.

Pengarah Bahagian Forensik, Jabatan Kimia di Petaling Jaya, Primulapathi Jaya Krishnan, 54, berkata, ini kerana analisis yang dilakukan tidak dapat mengesan berapa lama tempoh percikan darah itu telah berada pada selipar berkenaan.

Beliau yang menyambung keterangan pada perbicaraan kes bunuh Altantuya Shaariibuu berkata, ujian kastle-mayer (KM) yang dilakukan olehnya ke atas percikan tersebut hanya bagi menentukan ia adalah kesan darah.

Beliau turut memberitahu, jabatannya tidak melakukan analisis mengesan cap jari terhadap selipar berkenaan dan oleh itu, tidak tahu sama ada pihak polis ada meminta analisis cap jari dijalankan terhadap bahan bukti tersebut.

Keterangan saksi tersebut pada minggu lalu menyebut bahawa analisis terhadap percikan darah di bahagian atas kedua-dua belah selipar yang dijumpai di dalam jip milik Sirul Azhar menunjukkan kehadiran profil DNA Altantuya.

Ketika disoal balas oleh peguam bela Sirul Azhar, Kamarul Hisham Kamaruddin, Primulapathi menyatakan, semasa membuat calitan swab ke atas sehelai jaket kulit hitam, beliau tidak tahu pemiliknya dan siapakah yang selalu memakai jaket tersebut.

Jelasnya, beliau hanya membuat calitan swab pada bahagian-bahagian tertentu di bahagian dalam jaket tersebut yang biasanya akan ditemui profil DNA.

Biarpun begitu, katanya, profil DNA pada calitan swab yang dilakukan ke atas jaket tersebut melalui turutan mitokondria mendapati ia tidak sepadan dengan profil DNA Sirul Azhar.

Menurut saksi pendakwa ke-39 itu lagi, jumlah DNA yang ditemui pada jaket itu juga adalah sangat rendah.

Ditanya adakah DNA yang ditinggalkan seseorang yang memegang sesuatu objek boleh dipindahkan ke objek lain, beliau berkata, ia boleh terjadi tetapi bergantung kepada sekuat mana cengkaman terhadap objek pertama itu.

Semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin sebelum ini, Primulapathi menyatakan bahawa profil DNA Altantuya ditemui pada calitan swab di bahagian dalam leher, ketiak dan lengan jaket milik Sirul Azhar itu.

Menjawab soalan lain Kamarul Hisham, menurut saksi tersebut, beliau tidak menafikan terdapat kemungkinan tulang-tulang dari tempat kejadian yang tidak dianalisisnya berasal daripada lebih satu sumber DNA tetapi ia tidak mungkin berlaku.

“Saya tidak tahu sekiranya terdapat sumber DNA lain di tempat kejadian tersebut. Saya hanya bergantung kepada senarai bahan bukti (Borang Pol 31) yang diserahkan oleh pihak polis,” ujarnya.

Katanya, tulang belakang serviks, tulang lumbar, tulang pinggul dan tulang antara bahu dengan siku tidak dianalisis kerana ia diambil dari tempat kejadian yang sama.

0 comments: