Penderma organ disaran beritahu keluarga

KUALA LUMPUR 7 Okt. – Orang ramai yang berikrar untuk menderma organ disaran memaklumkan perkara itu kepada keluarga masing-masing agar niat mereka dapat dilaksanakan tanpa masalah apabila tiba masanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pendidikan Awam mengenai Derma Organ, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, langkah itu penting kerana dalam kebanyakan urusan pemindahan anggota tubuh, organ berkenaan mestilah diperoleh daripada sumber kadaverik.

Lee berkata, walaupun pemindahan tisu boleh menyambung nyawa atau memperbaiki kesihatan beribu-ribu pesakit, tetapi senarai penerimanya menjadi semakin panjang hari demi hari.

“Apa yang penting sekarang ialah meneruskan usaha untuk menyebarkan maklumat yang tepat dan menggalakkan orang ramai, tanpa mengira bangsa, untuk menderma organ,” katanya.

Beliau berkata, menderma organ dan tisu merupakan antara lambang kasih sayang dan melambangkan sikap sanggup memberi dan menerima secara sukarela yang paling tinggi nilainya.

– Bernama

0 comments: