Analisis DNA muktamad – Pengarah Forensik

SHAH ALAM 8 Okt. – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu walaupun pangkalan data asid deoksiribonukleik (DNA) warga Mongolia tidak berada dalam simpanan Jabatan Kimia Malaysia, namun analisis berkaitan dengannya adalah tepat, lengkap dan konklusif.

Ini kerana, analisis DNA untuk menentusahkan pemilik cebisan spesimen dan serpihan tulang yang ditemui di kawasan belukar antara Puncak Alam dan Puncak Perdana, telah menggunakan pangkalan data antarabangsa sebagai garis panduan ketika analisis dijalankan.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Pengarah Bahagian Forensik, Jabatan Kimia Petaling Jaya, Primulapathi Jaya Krishnan, 54, ketika memberikan keterangan pada perbicaraan kes bunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang masuk hari ke-47 hari ini.

Ketika disoal dalam pemeriksaan balas oleh peguam bela, J. Kuldeep Kumar yang mewakili tertuduh pertama, Cif Inspektor Azilah Hadri, saksi pendakwa ke-39 itu juga menolak kemungkinan berlakunya kesilapan dalam analisis DNA.

Setiap sampel yang dihantar oleh pihak polis kepada beliau, akan dibuka secara sistematik, kata Primulapathi.

Beliau juga menolak kemungkinan, sampel bahan bukti tersebut bercampur dengan yang lain meskipun ketika menjalankan analisis, pakar itu telah dibantu oleh pembantunya.

Bagi pengetahuan mahkamah, tegas Primulapathi, situasi tersebut (bukti bercampur-campur) tidak pernah berlaku di makmal beliau.

Ini kerana, tambahnya, jika sampel tersebut memang telah bercampur dengan yang lain ataupun tercemar, ia akan ditunjukkan dalam keputusan penuh di penghujung analisis.

Kuldeep terus menyoal Primulapathi bertubi-tubi: “Tadi kamu mengatakan ada dibantu oleh pembantu kamu ketika analisis dijalankan. Oleh itu, seandainya sampel telah bercampur ataupun tercemar, kamu tiada pengetahuan mengenainya kerana kamu hanya mengawasi tugas mereka.”

Primulapathi: “Jika sampel sudah tercemar, sudah semestinya saya tahu kerana keputusan akhir akan menunjukkannya.”

Saksi itu memberikan keterangan pada perbicaraan terhadap Azilah dan Koperal Sirul Azhar Umar serta penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda.

Azilah dan Sirul Azhar didakwa membunuh Altantuya, 28, di antara Lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja dekat sini antara pukul 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi, 20 Oktober tahun lalu.

Abdul Razak, 47, yang juga pengarah eksekutif sebuah kumpulan pemikir tempatan pula didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar dalam pembunuhan Altantuya, di pejabatnya di Tingkat 10, Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang, Kuala Lumpur antara pukul 9.54 pagi dan 10.05 pagi pada 18 Oktober tahun lalu.

Mereka berhadapan dengan hukuman mati jika disabitkan dengan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam soalan lain, Kuldeep bertanya: “Sila rujuk P174 (laporan/repot analisis DNA) muka surat 11. Setujukah kamu dalam laporan tersebut kamu langsung tidak menyatakan bilakah tarikh sebenar kamu membuat analisis.”

Primulapahi bersetuju bahawa beliau tidak menyatakan tarikh analisis dijalankan tetapi menurutnya, tarikh tersebut ada direkodkan di dalam catatannya.

Mendengarkan jawapan itu, Kuldeep terus meminta Primulapathi supaya merujuk rekod ataupun catatan yang dimaksudkannya.

Primulapathi memberitahu: “Selepas menerima bahan bukti pada 11 November 2006, saya telah menganalisisnya pada keesokan hari iaitu pada 12 November. Sementara bahan bukti yang saya terima pada 15 November, saya kendalikan analisis pada hari yang sama. Manakala bahan bukti yang diterima pada 17 November, saya analisis 19 November.”

Beliau berkata, semua analisis bahan bukti telah disempurnakan pada 21 Disember 2006.

Kuldeep terus bertanya: “Berapa lamakah masa yang diambil oleh kamu untuk menjalankan sesuatu analisis?”

Semuanya, kata Primulapathi, adalah bergantung kepada jenis sampel misalnya, jika ia (sampel) adalah darah ia mengambil masa 24 jam.

“Sekiranya sampel tulang, rambut dan calitan swab, kebiasaannya antara tiga ke lima hari atau mungkin lebih daripada itu. Ia bergantung kepada kualiti sampel. Ia memungkinkan kerja daripada pagi hingga ke malam,” ujarnya.

Berasa ‘janggal’ dengan jawapan yang diberikan itu, Kuldeep segera bertanya: “Jabatan Kimia Malaysia bekerja sehingga ke malamkah?"

Primulapathi: “Untuk kes-kes yang memerlukan tindakan segera, kami bekerja hingga ke malam termasuklah pada hujung minggu.”

Menyentuh pula bahan bukti bertanda K6 (bekas plastik mengandungi seketul tulang) hingga K9 (tulang antara bahu dan siku) berlabel unknown (tidak diketahui), saksi menjelaskan, beliau tidak menganalisis bukti tersebut kerana ia diambil dari tempat kejadian yang sama.

“Setujukah memandangkan kamu tidak menganalisis bahan bukti K6 (tulang belakang serviks (cervical spine) – P163B, K7, tulang lumbar (bahagian badan antara rusuk dengan pinggul) – P164, K8, tulang punggung (pelvic bone) – P165B dan K9, tulang antara bahu dengan siku (humerus bone) – P166B. Justeru itu, ada kemungkinan terdapat profil DNA yang berbeza,” kata Kuldeep.

Primulapathi: “Segalanya mungkin. Tetapi berdasarkan pengalaman adalah tidak perlu untuk saya menganalisisnya memandangkan ia diambil dari tempat kejadian yang sama.”

Perbicaraan bersambung esok.

0 comments: