Berlepas esok

Daripada METRA SYAHRIL MOHAMED


KAPAL angkasa Rusia Soyuz TMA-11 yang akan membawa angkasawan negara bersiap sedia untuk berlepas ke Stesen Angkasa Antarabangsa Rabu ini selepas ditegakkan di tapak pelancarannya di Baikonur, Kazakhstan, semalam. – AP.

BAIKONUR, Kazakhstan 8 Okt. – Roket pelancar Soyuz yang bakal membawa angkasawan pertama Malaysia ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) Rabu ini dibawa ke tapak pelancarannya di Baikonur Cosmodrome dekat sini hari ini.

Roket tersebut yang telah dicantumkan dengan kapsul Soyuz sejak semalam dibawa menggunakan kereta api khas dari hangar yang terletak kira-kira sembilan kilometer dari tapak pelancaran berkenaan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis berkata, sebaik tiba di tapak pelancaran, roket pelancar Soyuz menjalani uprighting process iaitu ditegakkan.

‘‘Ia merupakan proses terakhir sebelum roket itu dilancarkan Rabu ini. Ketika ini semua persiapan logistik dan teknikal berhubung roket pelancaran berjalan dengan baik,” katanya kepada pemberita di sini.

Angkasawan Malaysia yang terpilih menyertai misi Soyuz TMA-11 Rabu ini bakal diterbangkan dengan kapal angkasa itu ke ISS.

Angkasawan itu akan melawat ISS selama sembilan hari sebelum pulang ke bumi bersama angkasawan-angkasawan lain yang kini telah pun berada di ISS yang terletak di orbit kira-kira 333 kilometer dari muka bumi.

Di ISS, angkasawan Dr. Sheikh Muszaphar Shukor, 35, atau Kapten Dr. Faiz Khaleed, 27, akan menjalankan tiga eksperimen berkaitan sel barah, bakteria dan pengkristalan protein.

Program angkasawan negara itu merupakan persetujuan timbal balik pembelian 18 jet pejuang Sukhoi SU-30 MKM bernilai RM3.4 bilion dari Rusia yang ditandatangani pada 5 Ogos 2003.

Sheikh Muszaphar dan Faiz merupakan dua calon terakhir daripada 11,275 rakyat Malaysia yang memohon menjadi angkasawan pertama negara ketika tawaran dibuka pada 2003.

Jamaluddin berkata, selain persiapan logistik, persiapan berkaitan dengan penyelidikan juga berjalan lancar.

Menurutnya, kesemua saintis yang terlibat sudah berada di Baikonur untuk melakukan persiapan terakhir.

‘‘Kesemua peralatan dan bahan kajian telah dibawa masuk ke dalam Soyuz semalam dalam dua sesi iaitu pada pukul 10 pagi dan 5 petang.

‘‘Bahan-bahan kajian telah dapat disediakan dengan sempurna dan telah lulus dalam ujian penyediaan yang ditetapkan oleh pihak Rusia dan ISS,” katanya.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan angkasawan negara diberi tugas tambahan selain menjalankan tiga penyelidikan berkenaan, Jamaluddin berkata, setakat ini beliau belum dimaklumkan apa-apa berhubung perkara tersebut.

– Utusan

0 comments: