Oleh Norliza Wasilan
PERSIAPAN AKHIR: Roket Soyuz-TMA 11 dibawa ke tapak pelancaran di Baikonour Cosmodrome, Kazakhstan, semalam. |
Angkasawan pertama negara mulakan misi penyelidikan di ISS malam esok
KUALA LUMPUR: Malam esok, Malaysia bakal mencipta sejarah dalam bidang aeroangkasa apabila angkasawan pertama negara memulakan misi penyelidikan di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
Penghantaran angkasawan pertama negara itu, sekali gus menempatkan Malaysia dalam kumpulan elit 37 negara di dunia yang berjaya menakluki angkasa lepas sejak kejayaan misi pertama manusia ke cakerawala oleh angkasawan bekas Soviet Union, Yuri Gagarin pada 12 April 1961.
Dengan diiringi doa dan harapan rakyat, angkasawan negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, 35, atau Kapten Dr Faiz Khaleed, 27, akan menyertai misi kapal angkasa Soyuz 15-S ke ISS dari Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan pada jam 9.21 malam esok (waktu Malaysia).
Dr Sheikh Muszaphar dan Dr Faiz sudah diiktiraf sebagai angkasawan atau 'cosmonaut' oleh Agensi Angkasa Lepas Russia (Roskosmos), tetapi siapa yang akan menyertai misi itu akan diketahui empat jam sebelum pelancaran Soyuz.
Detik ini, antara peristiwa terpenting sejak negara mencapai kemerdekaan 50 tahun lalu, akan disiarkan secara langsung menerusi semua saluran televisyen utama tempatan.
TUNGGU MASA: Roket Soyuz-TMA 11 bersiap sedia untuk dilancarkan malam esok. |
Penghantaran angkasawan pertama Malaysia ke stesen penyelidikan yang berlegar pada ketinggian kira-kira 350 kilometer (km) dari bumi serta mengelilingi orbit pada purata kelajuan 27,744 km sejam, turut mencetuskan kebanggaan seluruh rakyat tanpa mengira peringkat umur, bangsa dan agama.
Naib Presiden Bahagian Perkhidmatan Pengurusan Bangunan, Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), Hussin Mohd Ali, 48, berkata Dr Sheikh Muszaphar dan Dr Faiz bakal menjadi lagenda negara dan dikenang sebagai pelopor misi angkasa lepas.
"Nama mereka pasti akan meniti di bibir setiap rakyat sama seperti yang berlaku kepada angkasawan Amerika Syarikat, Neil Armstrong yang menjadi manusia pertama mendarat di bulan dengan roket Apollo 11.
"Misi ke angkasa lepas membuka ruang kepada banyak pihak mengembangkan ilmu pengetahuan bukan saja menyentuh sains dan teknologi tetapi aspek agama contohnya bagaimana menunaikan ibadat sepanjang berada di angkasa lepas," katanya ketika ditemui Berita Harian, semalam.
Jurutera Minyak dan Gas, FMC Technologies, Faizal Jaaffar, 24, berkata program angkasawan itu dapat mengembangkan industri berkaitan angkasa lepas yang sebelum ini janggal kepada sebahagian besar rakyat.
"Dengan adanya rakyat negara ini menjadi angkasawan, kita berharap lebih ramai belia akan meminati bidang aeroangkasa. Mungkin selepas ini bidang berkaitan angkasa lepas akan mendapat tempat di institusi pengajian tinggi (IPT)," katanya.
Konstabel Polis Bantuan KL Sentral, Hanizam Haron, 27, berkata penghantaran angkasawan itu membuktikan Malaysia sudah memasuki era kemodenan sains dan teknologi serta boleh dianggap setaraf Amerika Syarikat dan Russia.
Beliau yang tidak pernah terfikir Malaysia akan mempunyai angkasawannya sendiri, percaya misi itu akan menjadi realiti esok.
"Saya memang tidak pernah terfikir ada yang berjaya hingga ke tahap ini. Pada saya ini kejayaan besar kepada negara," katanya.
Pemilik perniagaan teknologi maklumat (IT), Geosian World Trading, George Liew, 35, berkata walaupun program itu sebelum ini berdepan pelbagai kritikan, angkasawan yang terpilih akan menjulang nama Malaysia.
Dr Sheikh Muszaphar adalah anggota kumpulan krew pertama misi Soyuz TMA-11 selain Yuri Malechenko (Russia) dan Peggy Whitson (Amerika Syarikat), manakala kumpulan krew kedua terdiri Dr Faiz, Sharizan Sharipov (Russia) serta Michael Fincke. Pihak Russia sudah mencadangkan penghantaran kumpulan krew pertama.
Kedua-dua kumpulan itu kini melalui latihan peringkat akhir, kurang 40 jam sebelum pelancaran dengan tumpuan kepada ulang kaji terperinci, selain latihan simulasi komputer bagi proses pendaratan.
Dr Sheikh Muszaphar atau Dr Faiz adalah dua calon akhir daripada 11,275 calon yang memohon. Pelbagai ujian di lalui sejak Ogos 2005 sehingga diumumkan sebagai dua calon akhir oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 4 September 2006.
Di BAIKONUR (Kazakhstan), Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis, berkata kapsul Soyuz sudah dicantumkan dengan roket pelancarnya dan dibawa dengan kereta api khas sejauh lima kilometer dari hangarnya ke tapak pelancaran di Baikonur Cosmodrome.
Beliau dipetik Bernama sebagai berkata, roket pelancar itu menjalani proses ditegakkan semalam sebelum pelancarannya ke ISS esok.
"Proses uprighting (penegakan) adalah proses peringkat akhir sebelum dilancarkan. Ketika ini, semua persiapan logistik dan teknikal berhubung roket pelancaran berjalan baik," katanya.
0 comments:
Post a Comment