170 anak yatim terpinga-pinga Perdana Menteri kejut sahur

KEPALA BATAS 8 Okt. – Bagi 170 anak yatim yang menghuni Rumah Taman Bakti dekat sini, pengalaman bersahur semalam pasti tidak dilupakan apabila Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri mengejutkan mereka untuk mengerjakan amalan sunat bulan Ramadan itu.

Dengan ditemani isterinya, Datin Seri Jeanne Abdullah, Perdana Menteri memasuki bilik asrama itu kira-kira pukul 12 tengah malam untuk mengejutkan penghuninya bangun bersahur.

Dalam keadaan terpinga-pinga, anak-anak yatim itu bangun daripada tidur dan alangkah terperanjatnya mereka apabila mendapati Perdana Menteri berdiri di sisi katil sambil menyapa mereka dengan mesra.

Wajah mereka bertukar ceria apabila diberitahu bahawa Abdullah akan bersahur bersama mereka sempena Program Bersahur Perdana Menteri Bersama Kanak-Kanak Rumah Taman Bakti.

Selepas bersahur, Abdullah dan Jeanne menyampaikan sendiri hadiah duit raya kepada mereka.

Majlis itu dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang dan Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3).

Turut menyertai majlis itu ialah Ketua Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan beberapa pemimpin masyarakat sekitar Parlimen Kepala Batas.

Pada majlis itu, Abdullah juga menyerahkan RM10,000 hasil sumbangan TV3 kepada pengurusan Rumah Tunas Bakti itu bagi menampung kos membiayai kerja-kerja kebajikan di situ.

Bagi anak yatim, Mohd. Danial Syed Iman, 11, pengalaman istimewa dikejutkan Perdana Menteri untuk bangun sahur tidak akan dilupakannya sampai bila-bila.

“Saya rasa amat gembira kerana Perdana Menteri sudi bersahur bersama-sama kami. Terkejut juga kerana beliau sendiri yang mengejutkan kami untuk bersahur,” ujarnya.

Perasaan gembira itu turut dikongsi oleh Sabirah Shuib, 14, yang berasa bertuah kerana tidak menyangka dapat berpeluang bersahur bersama pemimpin nombor satu negara.

“Perdana Menteri baik. Saya rasa gembira kerana dapat makan bersama-samanya selain seronok kerana dapat duit raya,” katanya yang menjadi yatim piatu sejak berusia sembilan tahun.

0 comments: