Derma organ: Keluarga tidak boleh halang

KUALA LUMPUR 8 Okt. – Waris atau keluarga penderma tidak boleh lagi menghalang organ penderma berdaftar diambil apabila Kementerian Kesihatan menguatkuasakan Akta Tisu Manusia 1974 tahun hadapan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata, ketika ini, jika terdapat bantahan atau halangan daripada mana-mana pihak, pihak hospital tidak dibenarkan mengambil organ daripada tubuh penderma.

‘‘Dengan akta itu, penderma organ berdaftar yang berusia lebih dari 18 tahun berhak untuk mendermakan organ tanpa boleh dihalang oleh mana-mana pihak lagi,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengunjungi Tun Dr. Mahathir Mohamad dan penerima jantung baru, Tee Hui Yee di Institut Jantung Negara (IJN) di sini hari ini.

Turut sama dalam lawatan itu ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Fong Chan Onn.

Bagaimanapun, kata Soi Lek, doktor akan memaklumkan kepada waris pesakit mati otak supaya mendermakan organ pesakit tersebut kerana mereka memang tiada harapan untuk hidup.

‘‘Menjadi tanggungjawab doktor untuk menasihati keluarga pesakit mati otak untuk mendermakan organ pesakit kepada hospital dan yang penting kematian otak itu disahkan sekurang-kurangnya dua doktor,” katanya.

Tugas

Beliau menyedari tugas tersebut tidak mudah untuk dilaksanakan memandangkan situasi sedih dan penuh emosi yang dialami waris dan keluarga ketika itu.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan tidak ada cara lain untuk menyelamatkan pesakit yang memerlukan organ sedangkan banyak kes mati otak berlaku setiap hari di seluruh negara.

‘‘Kes mati otak memberikan peluang kepada ramai pesakit lain untuk terus hidup kerana jantung, hati, paru-paru dan buah pinggang mereka masih boleh digunakan oleh pesakit yang memerlukan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau bimbang amalan menderma di kalangan orang ramai hanya dilakukan secara bermusim sedangkan begitu ramai pesakit memerlukan organ.

‘‘Kebelakangan ini orang ramai disedarkan mengenai rayuan dan penderitaan Tee Hui Yee, maka ramai yang mula untuk mendaftarkan diri sebagai penderma.

‘‘Tetapi apabila kes seperti senyap, maka jadilah seperti hangat-hangat tahi ayam. Jadi saya harap pihak media memainkan isu ini untuk dua tiga hari lagi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Neuphorologi, Hospital Kuala Lumpur, Dr. Ghazali Ahmad berkata, tugas meminta organ daripada pihak waris boleh dilaksanakan oleh pegawai kebajikan dan sosial yang ada di setiap hospital.

‘‘Tetapi kematian otak melibatkan masa yang tidak menentu dan kadang kala dalam jumlah yang ramai dalam satu-satu masa, jadi doktor adalah individu yang paling bertanggungjawab untuk mendapatkan kebenaran itu,” katanya.

0 comments: