Terima kasih untuk segalanya – Hui Yee


Tee Hui Yee menunjukkan nota terima kasihnya kepada orang ramai di IJN, semalam.

KUALA LUMPUR 9 Okt. – “Thank you for everything and for everybody’s concern and well wishes - (Terima kasih untuk segalanya dan atas keprihatinan serta doa semua orang).

Itulah ayat yang ditulis oleh Tee Hui Yee, 14, pada sebuah papan putih di hadapan pihak media yang pertama kali berpeluang melihatnya menerusi tingkap kaca Institut Jantung Negara (IJN) hari ini.

Pengarah Klinikal Unit Pemindahan Jantung dan Paru-Paru IJN, Dr. Mohamed Ezani Md. Taib berkata, keadaan kesihatan Hui Yee kini semakin baik dan dia mungkin dibenarkan keluar dari Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas Aidilfitri.

Buat masa ini, katanya, Hui Yee masih lemah dengan berat badan yang terlalu ringan iaitu 33 kilogram,’’ katanya sewaktu mengiringi pihak media mengunjungi Hui Yee.

Menurut Mohamed Ezani, saluran pernafasan pada mulut Hui Yee telah dicabut pada pukul 10 pagi ini tetapi dia masih perlu bernafas dengan bantuan mesin pada tahap minimum.

“Beliau masih menggunakan terapi oksigen tetapi sudah boleh bernafas sendiri,” katanya.

Mohamed Ezani berkata, Hui Yee tidak mengetahui bahawa dia kini menggunakan jantung daripada penderma kedua setelah tubuhnya tidak dapat menerima organ daripada penderma pertama.

“Dia tahu yang dirinya menggunakan jantung orang lain, namun dia masih tidak tahu bahawa jantung itu adalah daripada penderma kedua,’’ katanya.

Beliau berkata, walaupun kesihatan Hui Yee kini baik, hanya enam orang termasuk kakitangan perubatan dibenarkan melawatnya pada satu-satu masa.

Beliau berkata, Hui Yee akan terus ditempatkan di ICU sepanjang cuti Hari Raya Aidilfitri ini untuk pemantauan tetapi kemungkinan besar akan dipindahkan keluar dari ICU selepas cuti berkenaan, bergantung kepada perkembangan kesihatannya.

Ditanya mengenai respons ibu bapa Hui Yee, beliau berkata, mereka dikurniakan keajaiban.

0 comments: