Mangsa tsunami tak sabar nak sambut raya

Oleh Fazli Abdullah dan Tuty Haryanti Ahmad Rodzi

GEORGETOWN: "Pak cik anggap ini sebagai hadiah pada bulan yang mulia dan hari raya tidak lama lagi. Syukur kepada Tuhan," kata Zakaria Chin, mangsa tsunami yang menerima kunci rumah kekal di Tanjung Bungah, di sini, semalam.

Warga emas berusia 73 tahun itu adalah antara 97 mangsa tsunami yang menerima kunci selepas lebih dua tahun menduduki rumah sementara serba kekurangan di Batu Feringgi.

Bekas tukang kebun yang kini menerima pencen RM300 sebulan berkata, pada usianya yang sudah lanjut, tidak pernah terfikir untuk memiliki rumah sendiri kerana tidak berkemampuan.

"Saya tidak tahu nak cakap apa lagi, terima kasih kepada kerajaan dengan pemberian rumah ini yang cukup selesa untuk kami sekeluarga," katanya yang ditemui ketika meninjau rumahnya di tingkat satu Blok A.

Turut menemaninya isterinya, Fatimah Ahmad, 59; anak tirinya, Zawahidah Zainon, 26; menantunya, Mohd Zaini Rasalan Afandi, 28, serta cucu mereka, Nur Syazwani Najihan, 2.

Zakaria menetap di Tanjung Bungah kira-kira 30 tahun sebelum rumahnya rosak teruk akibat dipukul ombak besar dalam kejadian tsunami pada 26 Disember 2004.


Fatimah pula berkata, mereka sekeluarga sudah tidak sabar lagi untuk berpindah ke rumah baru kerana segala persiapan sudah dibuat, tambahan Aidilfitri disambut beberapa hari lagi.

"Kami bercadang berpindah esok (hari ini) selepas mencuci rumah malam ini (malam tadi),� katanya.

Sementara itu, kanak-kanak yang dianggap ajaib oleh keluarganya kerana terselamat dalam tragedi sama, S Thulaashi, yang genap tiga tahun 4 Disember ini gembira dengan rumah barunya.

"Saya sangat suka," katanya yang dibawa ibunya, L Annalmary, 45, dan bapanya, A Suppiah, 58, untuk mengambil kunci rumah baru.

Thulaashi, yang berusia 20 hari ketika tragedi itu, dihanyutkan ombak tsunami ketika tidur di atas tilam. Bagaimanapun, tilam itu ditolak ombak ke pantai dan dia berjaya diselamatkan.

Di sebalik kegembiraan 97 keluarga yang menerima kunci rumah masing-masing, ada juga yang bersedih kerana tidak tersenarai walaupun mendakwa mereka adalah mangsa tsunami.

Zailena Eusof, 41, terkilan kerana tidak mendapat rumah walaupun rumahnya turut musnah dalam tragedi itu.

"Saya rasa pihak yang bertanggungjawab tidak adil, saya anak jati kampung ini dan rumah saya rosak akibat tsunami tetapi tidak diberi rumah.

�Bila rayu, mereka janji akan mengkaji kes saya. Sampai bila nak pertimbangkan, mangsa lain sudah menerima kunci tetapi saya macam ni,� katanya yang kecewa.

0 comments: