Pengundian kecoh

PULAU PINANG 9 Okt. – Seperti dijangka, kekecohan berlaku pada majlis pengundian dan penyerahan kunci rumah pangsa mangsa tsunami di Pangsapuri Masjid Terapung yang diadakan di sini hari ini.

Ini kerana terdapat mangsa yang tinggal di rumah sementara tsunami didapati tidak tersenarai sebagai penerima kunci rumah terbabit walaupun nama mereka turut didaftarkan.

Perasaan tidak puas hati juga timbul terhadap cara pembahagian 97 buah rumah yang sepatutnya diperuntukkan kepada semua mangsa.

Pada awal majlis itu, ada pihak mengatakan hanya blok A yang mengandungi 68 unit sahaja dibenarkan untuk pengundian.

Bagi blok B yang mengandungi 32 unit pula tidak dibuat pengundian kerana didakwa diberi untuk kes-kes khas sahaja.

Keadaan itu menyebabkan Pegawai Daerah Timur Laut, Azizi Zakaria dan Setiausaha Keselamatan Negeri Majlis Keselamatan Negeri Pulau Pinang, Abdullah Daud membuat keputusan supaya kesemua 97 unit rumah itu dibuka untuk pengundian.

Warga emas

Namun, masalah itu tidak berakhir di situ kerana terdapat beberapa penghuni cuba memanipulasi keadaan dengan cuba ‘memintas’ borang undian yang dikhususkan untuk warga emas menghuni di tingkat bawah.

Bagi seorang mangsa yang namanya tidak tersenarai dalam undian itu, Zailena Eusoff Zainul, 41, beliau amat kesal dengan cara pihak berkuasa mahupun wakil rakyat di kawasan tersebut membantu beliau untuk mendapatkan rumah.

Katanya, beliau telah beberapa kali bertemu dengan pegawai berkenaan serta wakil rakyat untuk membantu kerana pada awal bancian namanya disenaraikan bersama ibu dan dan adiknya.

“Saya dah habis ikhtiar kerana pelbagai alasan diberikan kepada saya termasuk pegawai daerah sendiri yang mahu saya bersabar untuk mendapatkan baki dua unit rumah sedangkan yang diketahui ada 39 nama sedang menunggu untuk mendapatkan baki rumah itu,” katanya.

0 comments: