MENCARI KEBERKATAN: Beribu penduduk Palestin yang dibenarkan memasuki Masjidil Aqsa berbuka puasa di perkarangan masjid itu di Baitulmaqdis. |
Tanah Suci catat rekod ibadah pada Ramadan
MAKKAH: Masjidilharam, masjid paling utama umat Islam, malam semalam mencatat sejarah tersendiri apabila lebih dua juta umat Islam menunaikan solat Isyak dan tarawih dengan harapan memperoleh malam Lailatul Qadar yang menurut sebahagian besar ulama jatuh pada malam 27 Ramadan.
Umat Islam mula berpusu-pusu ke Makkah sejak awal pagi lagi, manakala anggota keselamatan termasuk polis trafik terpaksa bekerja keras untuk mengawal lalu lintas dan orang awam yang datang dari dalam dan luar negara.
Jumlah jemaah yang membanjiri Masjidilharam terlalu ramai sehingga menyebabkan beribu-ribu daripada mereka terpaksa bersembahyang di atas jalan raya menghala ke masjid itu. Ramai jemaah juga dilihat bersolat di atas bumbung di bangunan berhampiran.
Gabenor Makkah, Putera Khaled Al-Faizal sejak awal, sudah mengarahkan agensi yang terbabit memantau jemaah bagi memastikan mereka dapat bersolat dengan selesa.
Panglima keselamatan tanah haram, Mejar Jeneral Yousuf Matar berkata, beliau mengarahkan 1,000 anggotanya agar memantau jemaah, manakala jabatan lalu lintas mengharamkan kenderaan daripada memasuki kawasan pusat Makkah sejam sebelum dan selepas solat bagi memberi kemudahan kepada pejalan kaki.
Sementara itu di BAITULMAQDIS, beribu-ribu rakyat Palestin dari Ramallah melalui pos pemeriksaan tentera Israel di Baitulmaqdis dari Ramallah untuk berbuka puasa dan menunaikan solat fardu dan tarawih di Masjidil Aqsa semalam, sempena malam ke-27 Ramadan.
Insiden kecil berlaku di pos pemeriksaan Qalandia apabila askar Yahudi mengejar beberapa remaja yang didakwa membaling batu ke arahnya ketika penduduk Palestin lain sibuk menunggu menanti surat pengenalan mereka diperiksa untuk memasuki Baitulmaqdis. - Agensi
0 comments:
Post a Comment