Syed Mokhtar dipuji taja pelajar OIC

Oleh RAJA LUVENA SHARIFUDDIN dan YULPISMAN ASLI

KUALA LUMPUR 9 Okt. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melahirkan penghargaan kepada tokoh korporat, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary atas usaha murninya membiaya pembelajaran para pelajar miskin dari negara-negara Islam di seluruh dunia sejak empat tahun lalu.

Perdana Menteri berkata, sebagai seorang yang beriman dan sentiasa mensyukuri rezekinya, hasil keuntungannya dari dunia perniagaan telah dibelanjakan dengan begitu banyak untuk tujuan kebajikan.

‘‘Melalui Yayasan Albukhary, beliau yang merupakan Pengerusi Eksekutifnya telah banyak menolong orang susah dengan mendirikan masjid dan membiaya pendidikan pelajar miskin melalui pembinaan sekolah, universiti serta membiaya program kepimpinan dan ini adalah cukup bermakna.

‘‘Ini satu sumbangan yang cukup istimewa dan sangat-sangat disokong kerajaan dari segi dasar.

‘‘Saudara mendapat sokongan daripada saya secara rasmi untuk membantu agar usaha baik yang mula dengan inisiatif saudara terus maju di masa hadapan,’’ katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Yayasan Albukhary di Muzium Kesenian Islam di sini, malam ini.

Turut hadir, Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Effendi Norwawi; Naib Pengerusi Yayasan Albukhary, Datuk Ismail Yusof; Penasihat Pendidikan Albukhary, Datuk Seri Dr. Abdul Shukor Abdullah dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Khalid Mohd.

Majlis itu turut dihadiri 287 penuntut asing dari 46 negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang sedang melanjutkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) atas tajaan Yayasan Albukhary.

Terdahulu dalam ucapan aluannya, Abdul Shukor berkata, komitmen kewangan yayasan kepada program ini amat besar, iaitu kos setiap penuntut sehingga tamat pengajian berjumlah RM110,000 yang merangkumi bayaran tuisyen, bayaran asrama, elaun buku dan elaun bulanan sebanyak RM450.

‘‘Secara keseluruhannya, keperluan peruntukan kewangan bagi program ini berjumlah RM32 juta bagi pusingan empat tahun sehingga semua pelajar melengkapkan program sarjana muda masing-masing,’’ ujarnya.

Berkemampuan

Menurutnya, prestasi akademik pelajar tajaan Yayasan Albukhary buat masa ini menepati jangkaan, memandangkan kebanyakan mereka dahulunya bersekolah dalam keadaan yang kurang berkemampuan dan terhad pula dalam penguasaan bahasa Inggeris.

‘‘Namun, 37 pelajar berada di dalam Senarai Dekan kerana mencapai nilai purata gred kumulatif (CGPA) 3.5 ke atas dan 109 dengan CGPA antara 3 ke 3.5 dan ini amat menakjubkan.

‘‘Bagi semester bermula November 2007, Yayasan Albukhary akan menaja 28 lagi pelajar ke UIAM manakala 22 pelajar lagi sedang menantikan pengesahan kemasukan ke sana,’’ katanya.

Tambahnya, mulai tahun 2009, pembinaan Universiti Antarabangsa Albukhary bernilai RM500 juta di Alor Star, Kedah pula akan menampung 3,000 pelajar terdiri daripada 70 peratus pelajar asing yang kesemuanya ditaja sepenuhnya oleh yayasan.

Komitmen Yayasan Albukhary kepada pendidikan, katanya, merupakan satu daripada tiga aktiviti terasnya selain kebudayaan dan agama Islam.

Majlis turut menyaksikan penyampaian sumbangan cek sebanyak RM250,000 daripada Yayasan Albukhary kepada Tabung Gempa Nusantara Utusan-Maybank.

Abdullah menyampaikan cek tersebut yang merupakan jumlah sumbangan terbesar yang pernah diterima tabung itu sejak ia dilancarkan pada 14 September lalu, kepada Khalid dengan disaksikan Syed Mokhtar.

0 comments: