BAWA HARAPAN: Dr Sheikh Muszaphar Shukor memberi isyarat bagus selepas dipilih menyertai misi ke angkasa lepas, malam ini. |
Angkasawan pertama negara berlepas jam 9.21 malam ini untuk misi 10 hari
BAIKONUR (KAZAKHSTAN): Jawatankuasa Pemilihan Angkasawan Agensi Angkasa Russia (Roscosmos) memilih Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha sebagai angkasawan pertama dari Malaysia, menyertai misi ke angkasa lepas, dijadual berlepas dari sini, malam ini.
Doktor bedah ortopedik berusia 35 tahun lepasan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang berasal dari Seremban itu, akan berada selama 10 hari di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
Beliau akan berlepas bersama Komander Peggy Whitson dari Amerika Syarikat dan jurutera penerbangan, Yuri Malenchenko, dari tapak pelancaran Baikaonur Cosmodrome di sini, pada 7.21 malam ini (9.21 malam waktu Malaysia).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis, berkata pemilihan Dr Sheikh Muszaphar berasaskan pencalonan asal oleh Malaysia kepada Roscosmos sebelum ini.
Malaysia mencalonkan Dr Sheikh Muszaphar sebagai calon pertama dan Kapten Dr Faiz Khaleed, 27, sebagai calon kedua.
Ketika keputusan itu diumumkan selepas mesyuarat jawatankuasa pemilihan, Dr Sheikh Muszaphar dan Dr Faiz serta krew masing-masing turut hadir.
Mesyuarat setengah jam itu juga bersetuju supaya Dr Faiz dihantar menyertai misi angkasa bagi sesi 2008/09 dan sementara itu dibenarkan turut berlatih di Pusat Latihan Angkasawan Yuri Gagarin di Star City, Moscow, Russia.
Jamaludin berkata, beliau akan mengemukakan cadangan mesyuarat itu mengenai Dr Faiz kepada Kabinet sekembalinya dari pelancaran misi itu.
Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan berlaku pertukaran krew misi dalam tempoh empat jam sebelum pelancaran.
"Saya juga mengucapkan terima kasih bagi pihak Kerajaan Malaysia kepada Russia kerana menjadikan misi ini berjaya, yang amat bersejarah sempena kemerdekaan negara kita.
"Ia juga amat signifikan bagi Russia kerana tahun ini sempena 50 tahun negara itu menghantar satelit pertamanya buatan manusia (Sputnik)," katanya
Jamaludin turut mengucapkan terima kasih kepada Russia kerana membantu saintis Malaysia membuat persediaan bagi kerja penyelidikan di angkasa oleh Dr Sheikh Muszaphar nanti.
Katanya, Dr Sheikh Muszaphar dan Dr Faiz turut diberi kesempatan menyampaikan ucapan kepada jawatankuasa itu dalam bahasa Russia.
Program angkasawan negara itu adalah persetujuan timbal-balik pembelian 18 jet pejuang Sukhoi SU-30 MKM bernilai RM3.4 bilion dari Russia dan ditandatangani pada 5 Ogos 2003. � Bernama
0 comments:
Post a Comment