Akta baru derma organ perlu disegera

KUALA LUMPUR: Cadangan kerajaan untuk menggubal peruntukan baru bagi membolehkan penderma organ meneruskan hasrat mereka selepas meninggal dunia walaupun dibantah ahli keluarga perlu disegerakan bagi memastikan lebih ramai pesakit menunggu organ baru dapat dirawat.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr Khoo Kah Lim, berkata sudah sampai masanya bergerak seiring kemajuan dunia dan masyarakat lebih terbuka menerima perubahan demi kebaikan bersama.

Katanya, pindaan Akta Tisu Manusia 1974 dan Akta Perubatan menjelang tahun depan membolehkan lebih ramai pesakit yang menunggu organ derma menerima rawatan sepatutnya.

"Tiada salahnya jika individu yang cukup umur berusia lebih 18 tahun dan sudah matang membuat keputusan menderma organ mereka. Asalkan mereka suka rela dan tidak dipaksa, ia boleh diterima. "Kita tahu, setiap organ yang diterima mampu mengubati penyakit individu lain, Tuhan juga akan suka sikap individu seperti itu kerana ia suatu yang baik," katanya semalam.

Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, yang menegaskan perlu ada peruntukan baru yang khusus bagi membolehkan hospital meneruskan wasiat penderma dan keluarganya tidak boleh menghalang.

Ketika ini, tiada peruntukan dalam akta sedia ada yang menyatakan secara jelas keluarga tidak boleh membantah ikrar mendermakan organ selepas meninggal dunia.

Peruntukan baru itu membolehkan hospital meneruskan wasiat penderma dan keluarga juga tidak boleh menghalang. Kajian mengenai perkara itu kini pada peringkat akhir untuk diputuskan sebelum diumum dan diguna pakai di seluruh negara.

Isu pemindahan organ mendapat perhatian apabila Tee Hui Yee, 14, yang menunggu sejak setahun lalu untuk menerima jantung baru menerima dua jantung daripada penderma dari Perak dan Johor.

0 comments: