Oleh Amin Ridzuan Ishak
KUALA LUMPUR: Beberapa lokasi di sini, yang menjadi medan acara siaran langsung detik bersejarah pelepasan angkasawan pertama negara ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) sudah bersiap sedia sepenuhnya menerima kedatangan orang ramai malam ini.
Tinjauan Berita Harian di dua lokasi utama semalam, mendapati pekerja sedang giat menjalankan kerja akhir bagi memastikan semua berjalan lancar dan mengelakkan gangguan teknikal.
Persiapan di lokasi utama iaitu Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hampir lengkap sepenuhnya bagi menerima 1,800 tetamu, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak.
Tujuh skrin gergasi berukuran 3.66 X 2.74 meter (m) bagi melihat perjalanan penuh bersejarah dan sidang video antara Abdullah dengan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis juga sudah siap dipasang.
Menariknya, satu kawasan pameran khas sempena penjelajahan ke angkasa yang berunsurkan sains dan teknologi juga dibina di dewan satu dan dua KLCC. Pelbagai barang seperti model pakaian angkasawan dan simulator kapal terbang dipamerkan.
Jurucakap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, semua persiapan baik dari segi peralatan dan perjalanan program berjalan lancar dan tidak ada masalah dihadapi sepanjang raptai.
Tepat jam 9.21 malam ini, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, 35, akan menyertai misi kapal angkasa Soyuz 15-S ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dari Baikonour Cosmodrome, Kazakhstan.
Selain Perdana Menteri dan Timbalannya, acara di KLCC akan turut dihadiri menteri Kabinet, duta negara luar, pegawai kerajaan dan pelajar.
Sementara itu, tinjauan di Dataran Merdeka pula mendapati, kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dari Jabatan Pengurusan Bangunan giat memeriksa skrin gergasi di situ bagi memastikannya dalam keadaan baik.
Pegawai Perhubungan Awam dan Antarabangsa DBKL, Muhammad Sidek Khalid, berkata pemeriksaan yang dijalankan mendapati skrin gergasi berfungsi dengan baik.
"Sebelum ini, beberapa litar gagal berfungsi selepas bandar raya ini dilanda banjir besar Jun lalu dan walaupun sudah diperbaiki, ia tidak digunakan,� katanya yang menjangkakan 40,000 orang akan datang ke Dataran Merdeka.
Sementara itu, Ketua Komunikasi TV Astro, Tammy Toh, berkata pihaknya sudah melengkapkan sistem penyiaran bagi membolehkan rakyat Malaysia menyaksikan peristiwa bersejarah ini.
"Ujian sudah dijalankan dan galanya lancar dan kami berterima kasih kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang membantu kami dari segi nasihat dan penyediaan teknologi," katanya.
0 comments:
Post a Comment