Kes Nurin: Polis siasat dalang sebar gambar bedah siasat

Oleh Hardi Effendi Yaacob, Nahar Tajri dan Ifwan Tun Tuah

KUALA LUMPUR: Polis sedang menyiasat dalang di sebalik penyebaran gambar bedah siasat Nurin Jazlin Jazimin 8, yang disebar secara meluas di internet melalui e-mel sejak beberapa hari lalu.

Gambar yang disebarkan pihak tidak bertanggung jawab itu antara lain menunjukkan mayat Nurin ketika ditemui dalam beg pakaian dengan kakinya dilipat ke atas.

Turut dipaparkan gambar mayat kanak-kanak malang itu ketika bedah siasat dengan perutnya terbelah serta dua objek dipercayai timun dan terung masih berada di dalamnya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, yang kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab itu memberi amaran sesiapa yang menyebarkan gambar terbabit supaya segera menghentikannya.

"Kes ini disiasat mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 kerana menyebarkan gambar mangsa yang mati dalam keadaan ngeri. Ini satu perbuatan yang sangat buruk dan terkutuk.

"Amaran ini ditujukan kepada semua individu yang memiliki gambar itu, termasuk anggota saya (polis) sendiri yang mempunyai akses secara langsung terhadap gambar berkenaan," katanya di sini, semalam.

Khalid berkata, laporan polis mengenai perkara itu sudah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya oleh Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamad.

Katanya, polis akan mengesan pihak yang menyebarkan gambar terbabit melalui rangkaian kiriman e-mel sehingga mereka menemui individu yang mula melakukannya.

"Kita akan menjejak individu terbabit sehingga jumpa. Saya kecewa dengan tindakan pihak yang menyebarkan gambar Nurin dalam keadaan sangat menyedihkan itu," katanya.

Sementara itu, Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr Zaininah Mohd Zin, menafikan gambar terbabit adalah milik Jabatan Forensik HKL, walaupun bedah siasat dijalankan di hospital itu.

"Siasatan awal mendapati ia bukan milik kita. Bagaimanapun, buat masa ini saya belum melihat gambar itu dan akan menjalankan siasatan lanjut.

"Kita memandang serius kes ini dan disebabkan itu segala gambar berkaitan diletakkan di bawah fail sulit dan tidak boleh disebarkan sesuka hati," katanya.

Beliau berkata, hanya dua pihak bertanggungjawab menyimpan gambar terbabit iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Forensik HKL.

"Hanya beberapa orang tertentu mempunyai akses untuk melihat gambar itu dan mereka terdiri daripada individu penting yang bertanggungjawab dalam kes ini," katanya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang ditemui selepas majlis berbuka puasa di Pulapol Kuala Lumpur di sini, malam tadi berkata, pihaknya menyerahkan kepada polis Selangor untuk menyiasat.

Sementara itu, bapa Nurin, Jazmin Abdul Jalil, 33, menyifatkan mereka yang mengedarkan gambar autopsi anaknya melalui internet sebagai tidak berperikemanusiaan, sama seperti orang yang membunuhnya.

"Orang yang menghantar gambar itu memang tidak berotak dan buta hati," katanya yang membuat laporan polis berhubung perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Dang Wangi, jam 9.40 malam tadi.

0 comments: