'Terima kasih semua'

Oleh Sazarina Shahrim


TERIMA KASIH: Hui Yee menunjukkan ucapan penghargaan dengan ditemani ibu bapa dan Kordinator Transplan, Noorsalina Othman (kanan) di IJN, semalam.

Hui Yee tulis mesej pertama dari Unit Rawatan Rapi IJN

KUALA LUMPUR: "Thank you for everything and for everybody's concern and well wishes! - Tee (Terima kasih untuk segala-galanya dan kepada keprihatinan semua pihak. Semoga anda diberkati)."

Itulah mesej pertama yang diberikan pesakit jantung, Tee Hui Yee, 14, ketika wartawan dibenarkan melihatnya melalui tingkap kaca di Unit Rawatan Rapi (ICU), semalam.

Dengan tulisan tangan pada papan putih, beliau sempat melambai sambil tersenyum riang kepada wartawan yang dibenarkan melawatnya sebentar.

Pengarah Klinikal Unit Pemindahan Jantung dan Paru-Paru Institut Jantung Negara (IJN), Dr Mohamed Ezani Md Taib, pada sidang media selepas itu berkata, Hui Yee yang menjalani pemindahan jantung minggu lalu kini semakin menunjukkan perkembangan positif dan sudah boleh bernafas sendiri tanpa bantuan alat pernafasan.

Beliau berkata, Hui Yee bagaimanapun masih ditempatkan di ICU untuk pemantauan sehingga pakar mengesahkan remaja itu boleh dipindahkan ke wad biasa.

"Hui Yee bernafas dengan baik dengan bantuan minimum alat bantuan pernafasan. Kira-kira jam 9.30 pagi ini (semalam), kami memutuskan untuk menanggalkan alat itu dan menjalankan tempoh percubaan supaya dia boleh bernafas sendiri, tapi masih ada saluran dalam hidungnya," katanya.

Sejak September tahun lalu, Hui Yee bergantung kepada 'jantung mekanikal' sehingga beliau menjalani dua pembedahan pemindahan jantung di IJN, Khamis lalu.

Dr Ezani berkata, berat Hui Yee yang kini 32 kilogram (kg) bagaimanapun perlu ditambah sekurang-kurangnya kepada 50 kg.

"Pakar pemakanan sedang berusaha menambah berat badan Hui Yee. Rasanya ia tidak menjadi masalah kerana gadis peramah itu suka makan.

"Selain makan, dia juga suka bercakap, tetapi satu yang kami tidak dapat beri kepadanya adalah anak patung kesayangannya," katanya sambil menambah Hui Yee meminati bekas pelajar Akademi Fantasia (AF) dari Sabah, Lotter.

Apabila ditanya perasaan ibu bapa Hu Yee terhadap perkembangan positif anaknya, Dr Ezani berkata, mereka sangat gembira dan bersyukur.

0 comments: