Spesimen tulang sah milik anak Shaariibuu

Oleh AMIRUDDIN HARUN, NORAZLITA MOHD. SIES dan NOOR AZMAH IBRAHIM


Primulapathi a/l Jaya Krishnan.

SHAH ALAM 5 Okt. – Ahli kimia yang menjalankan analisis mengesahkan bahawa profil asid deoksiribonukleik (DNA) yang diperoleh, menunjukkan pemilik cebisan spesimen dan serpihan tulang yang ditanda unknown ialah anak kandung Setev Shaariibuu dan S. Altantsetseg.

Pengarah Bahagian Forensik, Jabatan Kimia Petaling Jaya, Primulapathi a/l Jaya Krishnan, 54, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, kesimpulan tersebut dibuat setelah menjalankan analisis dan membuat perbandingan antara cebisan spesimen, serpihan tulang dan gumpalan rambut dengan sampel darah.

Hasil analisis mendapati, ia saling berpadanan antara satu sama lain dan ini menandakan ianya daripada satu sumber yang serupa, kata pakar DNA itu.

“Penemuan kedua pula, DNA yang diperoleh daripada tisu badan spesimen berlabel unknown saling berpadanan dengan spesimen darah berlabel Altantsetseg, dan ini menunjukkan bahawa sumber adalah daripada keturunan sebelah ibu yang sama,” katanya.

Penemuan DNA ketiga yang diperoleh, ujar Primulapathi ialah kesan darah pada selipar, rambut dan kesan calitan berlabel K1 hingga K4 iaitu pada jam tangan jenama Larmes, anting-anting, cincin dan jaket hitam adalah sepadan dengan tisu badan spesimen berlabel unknown.

DNA profil dalam penemuan yang keempat pula, kata saksi, iaitu sehelai rambut yang dijumpai di celah tempat duduk hadapan penumpang dalam jip Sirul Azhar Umar didapati berbeza daripada spesimen berlabel ‘Setev Shaariibuu’, ‘S.Altantsetseg’, ‘Sirul Azhar’, ‘Abdul Razak’, ‘Azilah Hadri’ dan ‘Rohaniza Roslan’.

Pakar DNA tersebut memberitahu demikian ketika diminta oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin supaya membentangkan hasil analisis yang dijalankan ke atas cebisan daging dan serpihan tulang yang dipercayai Altantuya setelah dikatakan berkecai akibat diletupkan di kawasan belukar antara Puncak Alam dan Puncak Perdana.

Primulapathi saksi pendakwa ke-39 memberikan keterangan pada perbicaraan terhadap Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar serta penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda.

Mereka didakwa membunuh Altantuya, 28, di antara Lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja dekat sini antara pukul 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.

Abdul Razak pula didakwa bersubahat dengan mereka dalam pembunuhan itu di pejabatnya di Kuala Lumpur pada 18 Oktober 2006.

Perbicaraan yang didengar di hadapan Hakim Datuk Mohd. Zaki Md. Yasin masuk hari ke-46 hari ini.

Disoal oleh Noorin, Primulapathi bersetuju bahawa beliau bergantung kepada spesimen darah berlabel S.Altantsetseg untuk mengenalpasti keturunan sebelah ibu yang sama kepada pemilik spesimen tisu badan berlabel T5 dan segumpal rambut T12 dan T13.

Pada satu peringkat, ketika Noorin dilihat begitu bersemangat mengajukan soalan, tiba-tiba beliau ditegur oleh Hakim Mohd. Zaki setelah mendapati pendakwa raya itu sudah tiga kali mengulang asas soalan yang sama tetapi dikemukakan dalam bentuk berbeza.

Primulapathi turut mengesahkan bahawa pemilik percikan darah pada sepasang selipar dan tuan punya rambut T12, segumpal rambut (T13) dan Z11A serta calitan pada jam tangan, anting-anting, cincin dan jaket adalah bersepadanan dengan tisu pada spesimen tisu badan (T5).

Noorin: “Bolehkah kamu membuat kesimpulan bahawa pemilik darah pada sepasang selipar, rambut, calitan pada barang kemas ialah orang yang sama”.

Primulapathi: “Saya hanya boleh menyatakan berdasarkan keputusan yang saya peroleh ia mungkin datang daripada orang yang sama”.

Perbicaraan bersambung Isnin depan.

0 comments: