Hui Yee genggam erat tangan ibunya

Oleh: SITI AINIZA KAMSARI


TERHUTANG BUDI...Ibu kepada Tee Hui Yee, Dina Bato Sambua (kiri) memeluk sambil mencium pipi Noor Salina Othman sebagai tanda terima kasih di IJN, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 6 Okt. – Penerima jantung baru, Tee Hui Yee, 14, (gambar kecil) berjaya melepasi tahap kritikal dan sebaik sahaja sedarkan diri tepat pada pukul 10 malam tadi, dia terus menggenggam erat tangan ibunya.

Tubuh Hui Yee juga menunjukkan tindak balas positif terhadap jantung baru yang diterimanya dan telah memberikan reaksi apabila diminta oleh doktor menunjukkan tempat anggota badannya yang sakit.

Ibu Hui Yee, Dina Bato Sambua berkata, dia hanya mampu mengangguk-anggukkan kepala sambil menahan air mata kegembiraan apabila anaknya itu menggenggam tangannya.

Pada masa sama katanya, dia dapat merasakan semula kehangatan tangan Hui Yee yang ketika itu baru keluar dari bilik pembedahan Institut Jantung Negara (IJN).

“Hui Yee sebenarnya masih tidak mampu membuka matanya, mungkin kerana masih kuat di bawah pengaruh bius.

‘‘Namun dia kerap menggerakkan bola matanya seperti hendak memberitahu dia kini sudah sedar dan akan terus berjuang untuk hidup dengan jantung barunya itu,’’ katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah Pengarah Klinikal Unit Pemindahan Jantung dan Paru-Paru IJN, Dr. Mohamed Ezani Md. Taib; Ketua Anestesiologi, Datuk Dr. Mohd. Hassan Mohd. Arif; Pakar Perunding Kardiologi, Datuk Dr. Chew Soon Ping; Pakar Kardiotorasik, Dr. Pau Kiew Keong; Pakar Perunding Respiratori, Dr. Ashari Yunus dan Penyelaras Pemindahan Jantung dan Paru-Paru, Noor Salina Othman serta Tee Ah Soon (bapa Hui Yee).

Hui Yee selamat menjalani pembedahan untuk menerima jantung kedua selepas badannya menolak organ jantung pertama pada pukul 8 pagi semalam.

Dina berkata, dia kini seolah-olah mendapat kekuatan baru apabila diberitahu oleh pihak IJN bahawa anaknya itu akan memiliki kehidupan normal setelah jantung yang diderma mampu berfungsi dengan baik.

“Walaupun letih akibat tidak cukup tidur dan perasaan agak tertekan tetapi genggaman tangan Hui Yee benar-benar memberikan saya satu kekuatan baru untuk saya terus membantu Hui Yee meneruskan kehidupannya.

“Berbanding tubuhnya yang kecil, semangat Hui Yee sebenarnya begitu kuat sehingga dia mampu menjalani dua pembedahan besar yang tentunya berisiko tinggi dan segala kemungkinan boleh terjadi.

“Saya begitu terharu dan walaupun kini saya sudah boleh berehat dan melelapkan mata namun saya tidak akan berganjak dari sisi Hui Yee,” katanya.

Dina berkata, setiap detik perkembangan positif anaknya membuatkan dia semakin kuat dan berterima kasih kepada insan-insan mulia yang mendermakan jantung kepada anaknya itu.

“Mereka merupakan insan-insan yang mempunyai hubungan yang begitu istimewa dengan seluruh anggota keluarga kami terutama kepada Hui Yee.

“Walaupun organ penderma pertama dari Ipoh itu gagal berfungsi namun jantung tersebut memberikan beberapa jam kepada anak saya untuk terus hidup.

“Setiap detik itu sehinggalah anak saya menerima organ jantung kedua, amat saya hargai dan saya tetap terhutang budi dengan keluarga remaja Melayu itu, malah saya akan terus mendoakan agar hidup mereka terus dilimpahi kesejahteraan,” katanya.

Ketika mendapat tahu jantung daripada penderma itu tidak dapat diterima oleh tubuh anaknya, kata Dina, dia hampir hilang harapan.

“Tetapi kemunculan keluarga Chin Yoon Kiong yang mendermakan jantung anak mereka pada saat-saat yang begitu mencemaskan, saya amat terharu dan tidak putus-putus berterima kasih dan ingin sekali mengucapkan terima kasih itu di hadapan keluarga berkenaan,” katanya.

Media pula, kata Dina, umpama dewa penyelamat kepada nyawa anaknya.

“Saya begitu sedar kini akan peranan media yang begitu membantu dan saya berharap agar media terus memberikan sumbangan bagi menyelamatkan ramai lagi pesakit yang memerlukan derma organ daripada orang ramai.

“Orang ramai pula jangan ragu-ragu lagi untuk melakukan amal dengan mendermakan organ. Amalan ini begitu mulia, bayangkan tanpa derma tersebut bagaimana Hui Yee mampu meneruskan hidup akibat mempunyai masalah jantung yang teruk,” katanya.

Sementara itu, Dr. Mohamed Ezani ber kata, tubuh Hui Yee menunjukkan tindak balas yang positif terhadap organ jantung yang baru diterimanya.

“Walaupun dalam keadaan separuh sedar dia mampu mengangkat tangannya dan segera meletakkan tangannya ke atas dada apabila ditanya bahagian mana yang dia rasa sakit,” jelasnya.

Menurut beliau, pagi ini Hui Yee di masukkan semula ke Dewan Pembedahan untuk membersihkan luka dan menstabilkan lagi keadaannya.

“Hui Yee menjalani siri pembedahan yang besar, jadi dia memerlukan pemerhatian dan jagaan ketat daripada terkena jangkitan,” katanya.

Namun sehingga setakat ini, Hui Yee tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda penolakan terhadap jantung barunya itu, katanya.

Jelas beliau, lazimnya doktor akan melakukan biopsi dengan memasukkan tiub kecil dari urat di leher terus ke jantung untuk mengambil cebisan daging daripada jantung kemudian dihantar ke makmal Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dianalisis sama ada berlaku penolakan atau tidak.

“Selain tidak lagi dimasukkan bekalan darah, suhu badannya normal iaitu 36.7 darjah Celsius dan yang lebih penting melalui ujian echokardiogram, jantung baru Hui Yee berdenyut dengan baik pada kadar degupan yang normal,” katanya.

Pagi ini juga, kata Dr. Mohamed Ezani, doktor sudah menanggalkan Intra-Aotic Ballon Pump iaitu alat yang membantu fungsi jantung Hui Yee yang bermasalah itu.

“Begitupun Hui Yee masih bergantung kepada bantuan alat pernafasan berikutan badannya masih lemah. Namun yang menarik walaupun dalam keadaan masih lemah, dia cuba hendak bersuara tetapi dihalang oleh saluran tiub di mulutnya,” katanya.

Dr. Mohamed Ezani berkata, Hui Yee akan terus berada di wad ICU sekurang-kurangnya untuk lima hari.

Beliau turut menyifatkan kejayaan pemindahan organ jantung terhadap Hui Yee sebagai satu sejarah yang dipenuhi dengan pelbagai episod menarik, mencabar dan begitu mendebarkan.

“Sebagaimana orang lain, saya juga diselubungi pelbagai perasaan malah lebih mendebarkan kerana sepanjang berkhidmat dan belajar perubatan, kes Hui Yee benar-benar satu pengalaman yang tidak boleh dijual beli, begitu mahal,” katanya.

0 comments: