AS serang Iran hanya gosip: Bush

WASHINGTON: Presiden George W Bush menafikan Amerika Syarikat bersiap sedia menyerang Iran.

Dalam satu temu bual dengan televisyen Arab, Bush menekankan beliau terus komited menggunakan pendekatan diplomatik bagi menyelesaikan perselisihan dengan Teheran mengenai isu program nuklear.

Bush terbabit dalam temu bual selama sejam dengan Al-Arabiya.

"Saya mengatakan jika mereka menangguhkan program nuklear, kita akan berada di meja rundingan," kata Bush berdasarkan transkrip temu bual disiarkan, kelmarin.

Bush juga mengetepikan laporan khabar angin melalui media Arab bahawa beliau mengeluarkan arahan kepada pegawai kanan tentera Amerika untuk menyiapkan serangan besar terhadap Iran akhir Januari atau Februari depan.

"Saya menyifatkannya sebagai propaganda kosong. Dunia cuba menakutkan penduduk mengenai saya secara peribadi atau negara saya atau pendirian kami. Gosip seperti ini tidak berasas," katanya.

0 comments: