Oleh Sazarina Shahrim
TERIMA KASIH: Ibu Hui Yee, Dina mencium Koordinator Transplan Jantung dan Paru-Paru IJN, Noorsalina Othman sambil diperhatikan suaminya, Tee Ah Soon dan Dr Mohd Ezani pada sidang media di IJN, semalam. |
KUALA LUMPUR: Ibu penerima jantung, Tee Hui Yi, Dina Bato Sambua, 46, menitiskan air mata ketika melihat anaknya pertama kali sedar selepas menjalani pembedahan pemindahan jantung keduanya kelmarin.
Hatinya bertambah gembira apabila anak bongsunya itu mula menunjukkan tindak balas dengan memegang tangannya selepas mendengar beliau memanggil namanya.
"Tee dalam keadaan stabil. Dia juga sudah boleh buka mata sedikit dan sedar kehadiran kami di sisinya. Saya bersyukur kerana akhirnya dia sudah memberi reaksi," katanya sebak dan bergenang air mata apabila menceritakan keadaan anaknya di Unit Rawatan Rapi (ICU), semalam.
Beliau berkata, sejak anak bongsunya itu menjalani pembedahan pertama lagi, beliau tidak dapat melelapkan mata.
"Apabila badan dia menolak jantung pertama saya memang sedih tetapi saya faham dan menyerahkan segalanya kepada Tuhan," katanya yang kini berasa sangat lega dan sudah boleh tidur lena.
Selain dirinya dan suami, Tee Ah Soon, 51, anak sulung mereka Tee Ah Check, 27, turut melawat Tee (Hui Yi) di ICU semalam.
"Kalau boleh saya mahu bertemu keluarga kedua-dua penderma untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka. Saya menganggap anak mereka seperti anak saya juga walaupun mereka sudah tiada," katanya.
Walaupun harapan itu mungkin tidak kesampaian kerana dasar IJN yang tidak membenarkan penderma dan penerima berjumpa, Dina berkata, dia tetap akan mengenang dan menghargai sumbangan yang dilakukan kedua-dua keluarga penderma.
"Saya juga berharap lebih ramai orang tampil untuk menjadi penderma menyelamatkan pesakit yang menunggu organ seperti anak saya.
"Saya juga sangat menghargai sumbangan media yang membantu menyebarkan cerita anak saya sehingga ada orang sudi menderma jantung, begitu juga dengan kakitangan perubatan IJN yang bertungkus lumus memastikan anak saya selamat," katanya.
Tee, 14, yang menerima jantung seorang remaja Melayu yang maut dalam kemalangan di Ipoh, Perak, Khamis lalu, terpaksa menjalani pembedahan kedua bagi pemindahan jantung lain pagi kelmarin selepas badannya menolak jantung pertama.
Sebelum ini Tee terpaksa menunggu lebih setahun bagi mendapatkan penderma organ sehingga beliau membuat rayuan sekali lagi menerusi media pada 29 September lalu berikutan kesihatannya yang semakin terjejas selain tempoh jantung mekanikal yang akan tamat September tahun depan.
Sementara itu, Pengarah Klinikal Pemindahan Jantung dan Paru-Paru IJN, Dr Mohd Ezani Md Taib, berkata Tee mungkin ditempatkan di wad biasa lima hari lagi.
"Sekarang beliau stabil walaupun masih dalam keadaan kritikal. Beliau sudah sedar dan memberi tindak balas seperti menunjukkan di bahagian yang dirasakan sakit," katanya pada sidang media di IJN, semalam.
Mengenai pesakit paru-paru yang mendapat organ daripada remaja Melayu dari Ipoh itu, Dr Ezani berkata, lelaki berusia 39 tahun itu menunjukkan perkembangan yang sangat baik dan semakin kuat.
"Jika tiada masalah selepas ini, beliau mungkin boleh dipindahkan ke wad biasa dalam masa tiga hari lagi," katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, menasihatkan umat Islam tidak ragu-ragu untuk menderma organ kerana amalan itu bukan saja diharuskan syarak malah dipandang mulia dan wajar dicontohi.
"Umat Islam juga tidak harus bimbang organ yang didermakan sama ada diberikan kepada orang Islam atau bukan Islam kerana dalam ajaran Islam soal menyelamatkan nyawa manusia, perbezaan agama bukanlah halangan," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
0 comments:
Post a Comment