Penerima organ paru-paru bernafas sendiri sepenuhnya

KUALA LUMPUR 6 Okt. - Faktor organ paru-paru seorang remaja yang masih kuat dan sihat menyebabkan pesakit lelaki yang menerima organ itu kini mampu bernafas dengan sendiri.

Lelaki yang berketurunan Iban dari Sarawak berusia 39 itu telah menunggu hampir setahun untuk mendapatkan organ itu setelah menghidap penyakit idiopathic pulmonary fibrosis yang menyebabkan paru-parunya mengeras sehingga mengganggu sistem pernafasan.

Pakar Perunding Respiratori Institut Perubatan Respiratori, Hospital Kuala Lumpur, Dr. Ashari Yunus berkata, penerima itu yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) IJN, tidak lagi bergantung dengan sebarang alat bantuan dan menjalani proses pemulihan dengan cepat.

“Walaupun terpaksa bergantung dengan ubat anti penolakan tetapi penerima menunjukkan perkembangan kesihatan yang positif.

“Termasuk pada pagi ini, beliau mula menjalani latihan fisioterapi apabila dia sudah mampu menggerakkan tangan dan kakinya,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di IJN bagi mengulas perkembangan kesihatan lelaki itu yang menerima organ paru-paru dari remaja lelaki di Setiawan, Perak yang turut mendermakan jantungnya kepada penerima jantung mekanikal Tee Hui Yee, malam Khamis lalu.

Kedua-dua penerima organ ini menjalani pembedahan pemindahan secara serentak sebaik sahaja mereka menerima organ tersebut.

Namun lelaki itu, kata Dr. Ashari, masih memerlukan rawatan rapi malah lebih berisiko pada nyawanya berikutan beliau terdedah kepada kuman yang terkandung di dalam udara yang disedut oleh paru-paru lelaki itu.

“Paru-paru baru lelaki itu lebih terdedah kepada infeksi kuman berbanding penerimaan organ jantung, Jadi kita perlu menjaganya dengan lebih rapi,” katanya.

Menurutnya, penyakit idiopathic pulmonary fibrosis itu tidak dapat dikenal pasti puncanya namun jumlah pesakit penyakit itu kian bertambah ramai di negara ini.

“Ini bukan disebabkan akibat terlalu kuat merokok atau lain-lain punca tetapi jika berlaku, pesakit tiada pilihan kecuali terpaksa berharap kepada pendermaan organ paru-paru.

“Sehingga kini masih terdapat 10 lagi pesakit menunggu untuk mendapat paru-paru,” katanya.

0 comments: