Yangon dikecam



HENTI KEKERASAN: Aktivis di Dhaka menyertai bantahan global ke atas tentera Myanmar yang menahan sami dan penunjuk perasaan lain serta menuntut Yangon menyokong pelaksanaan demokrasi.

Dunia protes rejim Myanmar, pembangkang tolak tawaran junta runding dengan Suu Kyi

YANGON: Masyarakat dunia mengadakan bantahan sehari terhadap junta tentera Myanmar, bermula di kebanyakan bandar utama di Asia selepas rejim tentera negara itu mengaku menahan ramai sami Buddha dan askar menggunakan senjata api bagi menamatkan demonstrasi prodemokrasi minggu lalu.

Menambahkan lagi tekanan terhadap Yangon, pembangkang utama Myanmar menolak tawaran junta tentera mengadakan rundingan dengan pemimpin prodemokrasi, Aung San Suu Kyi, lapor The Independent.

Jeneral kanan Myanmar, Than Shwe, menyuarakan kesediaan menemui Suu Kyi sebagai pemimpin Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) jika beliau menggugurkan sokongan kepada sekatan antarabangsa ke atas negara itu serta tidak lagi bersikap 'memusuhi' pemerintah.

Tetapi, jurucakap NLD, Nyan Win, berkata: "Mereka menyuruhnya mengaku melakukan kesalahan yang tidak dilakukannya."

Sungguhpun begitu, Asean menyarankan bahawa sebarang penyelesaian di Myanmar masih memerlukan persetujuan tentera bagi menjamin kestabilan di negara itu.

Bantahan di seluruh dunia disertai aktivis dan anggota Amnesty International di bandar utama Asia, Eropah dan Amerika Utara.


Beratus-ratus orang berarak di Melbourne, Australia dengan membawa kain rentang menuntut 'Tiada Lagi Tumpahan Darah'.

Kira-kira 50 penduduk berkumpul di Bangkok manakala di Kuala Lumpur, 300 aktivis menghadiri upacara cahaya lilin kelmarin.

Lebih banyak perhimpunan juga dirancang di New Zealand, Austria, Belgium, England, Perancis, Ireland, Sepanyol dan Switzerland, Amerika Syarikat serta Kanada.

Kutukan masyarakat antarabangsa terhadap junta Myanmar juga semakin meningkat di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dengan Amerika Syarikat memberi amaran akan mengenakan sekatan PBB terhadap Myanmar jika gagal untuk memberi maklum balas terhadap tuntutan dunia ke arah demokrasi di negara itu.

Tindakan tentera terhadap sami Buddha adalah isu utama yang boleh mencetuskan kemarahan Myanmar dan memarahi askar yang terus setia kepada pemerintah.

Kerajaan menegaskan sami yang ditahan dibebaskan dengan hanya 109 dalam tahanan, kata kenyataan rasmi disiarkan malam kelmarin melalui stesen televisyen tempatan. � AP

0 comments: