Myanmar: PBB didesak tingkat tekanan

NEW YORK 6 Okt. – Negara kuasa utama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah meningkatkan tekanan terhadap Myanmar supaya membebaskan semua tahanan politik selepas utusan badan dunia itu memberi amaran mengenai “kesan antarabangsa yang serius”.

Amerika Syarikat (AS) semalam memberi isyarat ia akan mendesak dikenakan sekatan jika junta Myanmar berterusan bertindak terhadap para penyokong demokrasi.

Pada masa yang sama, beberapa kuasa Barat lain di PBB telah mengedarkan draf kenyataan mengecam “penindasan ganas” tersebut.

“Myanmar perlu mengambil kira apa yang berlaku di dalam negaranya itu akan memberi kesan buruk pada peringkat antarabangsa.

“Tidak ada negara yang boleh bertindak di luar standard yang digunakan oleh anggota masyarakat antarabangsa,” kata utusan khas PBB, Ibrahim Gambari dalam laporan kepada Majlis Keselamatan PBB pada Khamis lalu.

Sementara itu, junta tentera Myanmar telah menyiarkan rakaman video mengenai pejuang demokrasi, Aung San Suu Kyi di televisyen negara untuk kali pertama sejak empat tahun.

Junta tentera juga menyatakan, ia telah membebaskan beratus-ratus sami yang ditahan.

Selepas sidang tertutup Majlis Keselamatan semalam, Ibrahim memberitahu, terdapat konsensus di kalangan anggota majlis bahawa kekacauan di Myanmar “tidak dapat diterima dan tidak boleh berterusan dan tidak realistik.”

Beliau juga mempertimbangkan untuk kembali ke Myanmar pada pertengahan November ini bagi “mengekalkan momentum” hasil kunjungan sebelum ini bagi “membuka peluang” lebih baik.

Sementara itu, draf yang diedarkan semalam turut merayu junta tentera agar memberi kebenaran tanpa had dan halangan kepada Ibrahim semasa lawatannya.

“Majlis Keselamatan mengecam penggunaan kekerasan oleh kerajaan Myanmar terhadap demonstrasi aman, termasuk kekerasan terhadap institusi dan tokoh agama,” tegas teks draf yang dikemukakan oleh AS, Britain dan Perancis.

– AFP

0 comments: