Junta cuba reda tekanan - * Atur dialog dengan Suu Kyi *Longgar sekatan Internet

YANGON 6 Okt. – Junta Myanmar hari ini cuba meredakan tekanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan melonggarkan halangan perkhidmatan Internet dan cuba mengatur perbincangan dengan ketua demokrasi, Aung San Suu Kyi.

Penganalisis situasi di Myanmar yang berpusat di Thailand, Win Min berkata, rejim tersebut cuba menenangkan tekanan antarabangsa berikutan kemungkinan “laporan buruk” oleh utusan khas PBB ke Myanmar, Ibrahim Gambari sehingga menyebabkan badan dunia itu mengambil tindakan keras.

“Tindakan terbaru yang ganjil bagi rejim itu menunjukkan mereka berusaha mengelakkan tindakan tegas PBB seperti yang dituntut Amerika Syarikat (AS) dan negara Barat lain.

“Ia membawa isyarat mengelirukan tetapi menunjukkan pemimpin junta, Than Shwe mengiktiraf tekanan yang diterima dari dalam dan luar negara supaya mengadakan perbincangan dengan Suu Kyi,” jelas Win Min.

Beliau bagaimanapun membidas syarat tidak munasabah yang ditetapkan junta bagi memulakan perbincangan dengan Suu Kyi.

Win Min mendakwa junta tidak ikhlas mahu berbincang dengan pemimpin demokrasi yang telah dikenakan tahanan rumah sejak sekian lama itu.

Selain menyambung semula talian Internet, pihak junta turut memaparkan imej Suu Kyi, 62, dalam tayangan televisyen tempatan Myanmar untuk pertama kali sejak empat tahun lalu.

Tayangan itu dibuat serentak ketika Ibrahim menyampaikan laporannya kepada PBB di New York, semalam.

– AFP

0 comments: