Polis temui petunjuk kes Nurin

SUBANG JAYA 6 Okt. – Polis terus mempergiatkan usaha dalam siasatan berhubung kes pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin, 8, ekoran beberapa petunjuk yang mungkin boleh memecah kebuntuan kes tersebut.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, polis kini sedang membuat siasatan berdasarkan petunjuk ditemui dan berharap ia dapat membantu.

“Apa yang saya boleh beritahu ialah pasukan siasatan khas yang ditubuh masih bekerja keras dan melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan kes ini,” katanya yang ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran ‘Balik Kampung-Rumah Selamat’ di Kompleks Mydin di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar.

Khalid berkata, beliau yakin terhadap kemampuan pasukan yang diberi tanggungjawab itu dan segala-galanya berjalan dengan lancar.

Beliau yang ditanya mengenai perkembangan terbaru kad SIM (Modul Pengenalan Pelanggan) yang baru dikeluarkan daripada perut wanita warga Indonesia tengah hari kelmarin, bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenainya.

“Polis tidak hanya menumpukan siasatan menjurus kepada aspek kandungan kad SIM itu, tetapi turut memberi penekanan dalam semua aspek.

“Kenyataan saya mungkin akan mengganggu siasatan,” tambah Khalid yang enggan mengulas lanjut.

Pada 29 September lalu, wanita warga Indonesia berusia 23 tahun yang dikatakan menjadi ‘penjaga’ Nurin sebelum ditemui mati, ditahan di sebuah gerai menjual pakaian di bazar Ramadan di Nilai, Negeri Sembilan.

Siasatan awal mendapati, wanita yang telah bekerja hampir sebulan di gerai itu tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah.

Dia juga menelan kad SIM yang dikatakan mempunyai maklumat penting untuk membantu siasatan, menyebabkan kad itu berada dalam perutnya selama beberapa hari sebelum dapat dikeluarkan kelmarin.

Kelmarin, reman wanita itu dilanjut sehingga 10 Oktober ini oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya untuk membantu siasatan polis.

0 comments: