BANGKOK 15 Okt. – Utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ibrahim Gambari hari ini berkata, laporan penangkapan beberapa orang aktivis pembangkang semalam “sangat mengganggu” kelancaran usahanya.
Sehubungan itu, beliau meminta junta tentera Myanmar menghentikan serta-merta tindakan keras terhadap pihak pembangkang.
“Ia bertentangan dengan persetujuan bersama antara PBB dan Myanmar,” kata Ibrahim selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Thailand hari ini.
Kumpulan hak asasi memberitahu, empat aktivis politik utama telah ditangkap minggu lalu.
Menjelang kunjungan utusan khas PBB itu ke Thailand hari ini, junta tentera telah melonggarkan sekatan yang dikenakan berikutan bantahan aman yang diadakan bulan lalu selain turut memulihkan perkhidmatan Internet tetapi masih menyekat kemasukan berita luar negara.
Di Thailand, Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Thailand, Nitya Pibulsonggram dan kemudiannya mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Surayud Chulanont.
Ibrahim kemudian akan melawat Malaysia, Indonesia, Jepun, India dan China sebelum kembali ke Myanmar.
“PBB komited melakukan apa sahaja bagi mencari penyelesaian secara aman,” jelasnya.
Menurutnya, beliau mendapat jemputan yang sudah disahkan oleh pihak tertinggi kerajaan pada November ini tetapi beliau mahu “kembali secepat mungkin.”
Awal bulan ini Ibrahim mengadakan pertemuan dengan pemimpin junta tentera, Jeneral Kanan Than Shwe dan menggesa kerajaan menghentikan tindakan kekerasan ke atas penunjuk perasaan, selain mengadakan dua pertemuan dengan pemimpin pembangkang, Aung San Suu Kyi. – AP
0 comments:
Post a Comment