Feri wajib dapat kelulusan Syahbandar

Oleh Saufi Hamzah, Srihanasham Nordin dan Junita Mat Rasid

MUAR: Berkuat kuasa serta-merta, semua feri yang beroperasi di Jeti Mersing perlu mendapatkan pengesahan Jabatan Laut sebelum berlepas bagi memastikan ia mematuhi ciri keselamatan dan mempunyai lesen sah.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata langkah itu dibuat kerana siasatan awal mendapati feri Seagull Express, yang terbakar ketika membawa lebih 100 penumpang dari Mersing ke Pulau Tioman, Sabtu lalu, beroperasi secara haram.

Sambil mengakui kelemahan penguatkuasaan, beliau berkata, feri yang terbakar itu didapati berlepas tanpa kelulusan pihak berkuasa dan mengambil kesempatan terhadap pegawai penguat kuasa yang gagal bertindak sewajarnya.


"Berkuat kuasa serta-merta, saya mahu semua pihak memastikan setiap bot berlepas dari Jeti Mersing mestilah disahkan Jabatan Laut dan berlesen.

"Mereka juga perlu mematuhi aspek keselamatan, termasuk kelengkapan mencukupi untuk penumpang serta tidak melebihi had muatan," katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya, di Sungai Mati, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 petang Sabtu lalu, empat pelancong tempatan terbunuh, manakala tiga lagi masih hilang apabila feri Seagull Express terbakar kira-kira tujuh batu nautika dari Pulau Tioman selepas 30 minit perjalanan.


Feri itu tidak sepatutnya beroperasi membawa penumpang ke Pulau Tioman kerana sijilnya tamat akhir tahun lalu dan tidak diperbaharui. Setiap feri pelancong dikehendaki menghantar laporan kepada Pejabat Pelabuhan Mersing dengan memberikan senarai nama penumpang sebelum berlepas.

Abdul Ghani berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci, termasuk mengenakan tindakan tegas terhadap pemilik dan pengusaha feri yang tidak mematuhi peraturan dan menyebabkan nahas.

Katanya, siasatan awal mendapati feri berkenaan tiada lesen dan diperakui tidak selamat, tetapi dipercayai digunakan cara sembunyi berikutan permintaan meningkat pada musim cuti sekarang.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Laut Wilayah Selatan, Hazman Hussein, ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak meluluskan permohonan lesen dan sijil mengangkut penumpang kepada pengusaha feri Seagull Express kerana syarikat itu gagal memenuhi syarat ditetapkan.

Katanya, kebanyakan syarat berkaitan aspek keselamatan feri menyebabkan jabatan berkenaan tidak mengeluarkan lesen dan sijil untuk feri itu beroperasi.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy dijangka mengadakan sidang akhbar di pejabatnya petang ini berhubung kejadian itu.

Sementara itu, Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (Niosh), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata siasatan terperinci terhadap nahas feri itu perlu dibuat segera termasuk punca tragedi, termasuk kemungkinan kecuaian dan melanggar peraturan.

0 comments: