Hui Yee masih guna mesin bantuan pernafasan

Oleh NORILA DAUD

KUALA LUMPUR 15 Okt. – Penerima jantung baru, Tee Hui Yee, 14, masih bernafas dengan bantuan mesin pernafasan tetapi berada dalam keadaan stabil.

Penyelaras Pemindahan Jantung dan Paru-Paru, Institut Jantung Negara (IJN), Noor Salina Othman berkata, pihak IJN tidak mahu tergesa-gesa mencabut alat bantuan pernafasan itu kerana mahu memberi masa secukupnya kepada Hui Yee untuk pulih.

“Saya hanya boleh mengatakan bahawa keadaan Hui Yee, semakin stabil dan pihak IJN akan membuat kenyataan mengenainya esok,” kata Noor Salina ketika dihubungi di sini hari ini.

Kelmarin, penerima jantung mekanikal itu yang berjaya menjalani pembedahan jantung baru dikatakan menunjukkan reaksi supaya jururawat IJN mengeluarkan tiub pernafasan itu daripada mulutnya.

Ketua Pakar Bedah Kardiotorasik IJN, Datuk Dr. Mohd. Azhari Yakub pada 12 Oktober lalu memberitahu, sebelum ini tiub mesin pernafasan itu ditanggalkan namun ia terpaksa dipasang semula setelah Hui Yee mengalami keletihan kerana bernafas sendiri.

Sementara itu, Tee Ah Soon, bapa Hui Yee berkata, keadaan anak gadisnya itu stabil dan beliau tidak pula mengetahui tiub mesin pernafasan akan ditanggalkan daripada mulut anaknya itu hari ini.

“Saya tidak tahu mengenai perkara itu kerana doktor tidak beritahu saya apa-apa setakat ini,” kata Ah Soon ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Hui Yee menjalani pembedahan pemindahan jantung kali kedua pada pagi 5 Oktober lepas setelah jantung pertama yang didermakan kepadanya tidak dapat diterima oleh tubuhnya.

Sebelum ini Hui Yee menggunakan jantung mekanikal sejak 29 September tahun lalu. Gadis dari Batu Pahat, Johor itu berada di IJN selama setahun menunggu jantung yang sesuai untuk dipindahkan kepadanya.

0 comments: