Nahas boleh jejas industri pelancongan

KUALA LUMPUR: Nahas feri terbakar ketika membawa lebih 100 penumpang ke Pulau Tioman, Sabtu lalu boleh menjejaskan industri pelancongan, ketika kerancakan promosi Tahun Melawat Malaysia 2007 (TMM07).

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata kerajaan ketika ini rancak mempromosikan TMM07 untuk menarik kehadiran pelancong, tetapi apabila berlaku nahas ia boleh menjejaskan industri itu.

"Kejadian itu boleh dielakkan jika pengendali feri mematuhi segala aspek keselamatan, termasuk penyediaan jaket keselamatan mencukupi," katanya kepada Berita Harian, semalam.


Tengku Adnan berharap Jabatan Laut memberi tumpuan terhadap nahas feri itu kerana ia di luar bidang kuasa Kementerian Pelancongan.

Sementara itu, di JOHOR BAHRU, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Shahrir Samad, ketika mengulas perkara sama berkata, sektor pelancongan negara akan terjejas jika pengusaha dan penyedia perkhidmatan pelancongan terus mengabaikan aspek keselamatan.

"Jika kita hendak menggalakkan industri pelancongan negara, sesuatu perlu dilakukan terhadap aspek keselamatan," katanya ketika ditemui, semalam.


Di SEREMBAN, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan menggesa operator bot dan feri yang beroperasi di negeri ini supaya memeriksa tahap keselamatan kenderaan masing-masing bagi mengelakkan tragedi feri terbakar di Mersing pada Sabtu lalu berulang.

DI KUANTAN, 112 anggota penyelamat belum mengesan tiga penumpang masih hilang, selepas feri Seagull Express yang dalam perjalanan dari Jeti Mersing, di Johor ke Pulau Tioman terbakar dan tenggelam, menyebabkan empat penumpang terkorban Sabtu lalu.

Jurucakap Bilik Gerakan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin ketika dihubungi berkata, anggota gerakan bertumpu di kawasan lapan batu nautika ke barat daya Pulau Tioman mulai jam 5 pagi hingga jam 6 petang.

Jurucakap itu berkata, operasi berkenaan turut menggunakan khidmat anjing pengesan yang dibawa dari Balai Bomba dan Penyelamat Putrajaya.

Tiga mangsa yang masih hilang adalah Wong Song Leng, 37, dan Choong Yoong Kim, 43, kedua-duanya dari Petaling Jaya, juga Wong Hen Wen, 29, dari Klang, Selangor.

Kejadian itu turut mengorbankan empat pelancong, Hoo Lee Lan, 67, dari Kuala Lumpur; Hong See Tiew, 53 dan Teh Siew Lian, 52, masing-masing dari Klang dan Tee Moi @ Haw Lee Maoi, 68, dari Batu Pahat.

0 comments: