PM arah periksa semua feri

Oleh SAHBULAH DARWI


PERDANA Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersama isteri, Jeanne Abdullah disambut orang ramai sebaik tiba sempena Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri bersama Perdana Menteri di Dewan Milenium Kepala Batas, Pulau Pinang, semalam. – Gambar Mohd Naim Aziz.

KEPALA BATAS 15 Okt. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan Kementerian Pengangkutan memeriksa semua bot dan feri di seluruh negara bagi menjamin keselamatan orang ramai.

Perdana Menteri berkata, tindakan tegas perlu diambil untuk memastikan perkhidmatan feri di negara ini beroperasi dengan selamat serta memenuhi spesifikasi yang ditetapkan pihak berkuasa termasuk memiliki lesen yang sah.

“Jika feri itu tidak memenuhi spesifikasi yang ditetapkan maka pemilik bot perlu bertanggungjawab.

“Feri yang tidak ada lesen ini perlu berhenti (daripada beroperasi),” katanya kepada pemberita selepas majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri di Dewan Milenium di sini, hari ini.

Abdullah mengulas mengenai tragedi kebakaran feri Seagull Express berhampiran perairan Pulau Tioman yang mengorbankan empat penumpang dan mengakibatkan kesemua 103 penumpang terjun ke laut menyelamatkan diri pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari Sabtu lepas.

Dalam kejadian tersebut, ramai penumpang terbabit terjun ke laut tanpa diberi jaket keselamatan sebaik sahaja enjin feri itu mengeluarkan asap tebal.

Tragedi yang berlaku kira-kira 11 kilometer dari Pulau Tioman itu mengakibatkan tiga lagi penumpang yang terjun ke laut hilang dan masih belum ditemui sehingga petang ini.

Perdana Menteri melahirkan perasaan sedih dengan tragedi tersebut dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dan cedera.

Menurutnya, beliau telah berhubung dengan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy untuk mendapatkan penjelasan mengenai kejadian tersebut.

‘‘Saya difahamkan, feri itu tidak mempunyai lesen dan ia tidak diberi lesen kerana tidak memenuhi spesifikasi yang ditetapkan,” jelasnya.

Katanya: ‘‘Walaupun begitu pengusaha feri itu tetap menggunakannya dan disebabkan itu kejadian tersebut berlaku.”

Abdullah mahu tindakan tegas diambil ke atas pengusaha feri terbabit kerana melanggar undang-undang.

Perdana Menteri berkata, Kong Choy akan mengemukakan laporan lengkap mengenai kejadian tersebut kepadanya esok.

Katanya, laporan itu antara lain akan menjelaskan bagaimana feri yang tidak berlesen tetap boleh beroperasi dan tidak dihalang oleh pihak berkuasa.

‘‘Kementerian Pengangkutan juga perlu membuat pemeriksaan untuk memastikan bot yang digunakan berlesen dan selamat,” katanya.

0 comments: