Dr. Sheikh Muszaphar baca Rukun Negara, kibar Jalur Gemilang di ISS

MOSCOW 15 Okt. – Angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor melakukan beberapa aktiviti bersifat simbolik hari ini seperti membaca Rukun Negara dan mengibarkan Jalur Gemilang di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Di samping itu, beliau juga akan mendapatkan cop khas di ISS untuk ditandakan pada Jalur Gemilang, Jata Negara dan logo Program Angkasawan Negara yang dibawanya.

Apabila beliau pulang ke Bumi, bahan- bahan itu akan disimpan di Planetarium Negara di Kuala Lumpur.

Pengarah Program Angkasawan Negara, Kolonel Dr. Zulkeffeli Mat Jusoh berkata, aktiviti bersifat simbolik itu adalah perkara yang sering dilakukan oleh mana-mana angkasawan yang pernah sampai ke ISS.

Menurutnya, semua aktiviti tersebut akan dirakamkan untuk tontonan umum nanti termasuk amalan-amalan yang telah digariskan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) seperti bertayamum dan bersolat.

‘‘Selain itu, beliau juga akan merakamkan beberapa aktiviti lain termasuk rakaman kehidupan serta penyelidikan yang dilakukannya semasa di ISS,” kata Zulkeffeli pada sidang akhbar di sini hari ini.

Pada 10 Oktober lalu, Malaysia mencatat sejarah apabila Sheikh Muszaphar berlepas ke ISS dengan Soyuz TMA-11.

Sheikh Muszaphar akan berada di ISS selama sembilan hari sebelum pulang ke Bumi pada 21 Oktober ini.

Di ISS, beliau menjalankan beberapa kajian melibatkan tiga komponen penting iaitu sel di angkasa, mikrob di angkasa dan penghabluran protein.

Program penghantaran angkasawan negara ke ISS merupakan persetujuan timbal balik pembelian 18 jet pejuang Sukhoi SU-30 MKM bernilai RM3.4 bilion dari Rusia yang ditandatangani pada 5 Ogos 2003.

Zulkeffeli berkata, keadaan kesihatan Sheikh Muszaphar ketika ini adalah baik dan angkasawan pertama negara itu sudah belajar memberus gigi.

Katanya, Sheikh Muszaphar buat pertama kali malam tadi menggunakan tandas di ISS.

‘‘Saya sendiri telah berpeluang berkomunikasi dengan beliau secara persendirian dan bertanyakan mengenai kesihatannya ketika berada di ISS.

‘‘Secara amnya kesihatan beliau adalah baik namun mukanya nampak sedikit sembap. Bagaimanapun, keadaan itu adalah normal ketika manusia berada di angkasa.

‘‘Beliau juga menyatakan masih belum dapat menyesuaikan diri bergerak dalam keadaan mikrograviti,” ujarnya.

Sementara itu, Penyelaras Sains Hayat program penyelidikan untuk Program Angkasawan Negara, Prof. Dr. A. Rahman A. Jamal ketika ditemui berkata, pihaknya melahirkan rasa puas hati terhadap tugas penyelidikan yang dilakukan oleh Sheikh Muszaphar di ISS.

– Utusan

0 comments: