3 lagi feri diarah henti operasi

Oleh KAMIL MASLIH

MERSING 15 Okt. – Operasi tiga lagi feri milik syarikat Seagull Express yang terlibat dalam tragedi kebakaran di perairan Pulau Tioman tengah hari Sabtu lalu dihentikan serta-merta hari ini sehingga siasatan selesai dijalankan.

Jabatan Laut Wilayah Selatan yang mengeluarkan arahan tersebut menegaskan, tindakan itu diambil setelah ia mendapati syarikat itu beroperasi secara haram tanpa permit yang sah.

Pihak jabatan itu tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap pengendali feri tersebut sekiranya mendapati wujud pengabaian dalam aspek keselamatan feri tersebut.

Pengarah jabatan itu, Hazman Hussien memberitahu sidang media di sini hari ini, pihaknya telah pun menyoal siasat kapten dan dua krew feri Seagull Express yang terbakar itu.

Selain itu, katanya, para pegawai jabatan tersebut turut mengambil keterangan mangsa-mangsa dan pemilik syarikat feri berkenaan.

“Kami masih lagi menyiasat bagaimana feri itu boleh belayar sedangkan permit operasinya telah tamat pada Disember 2006.

“Kita menjangka siasatan berhubung tragedi ini akan selesai beberapa hari lagi sebelum tindakan selanjutnya dapat diambil,” katanya sambil menambah bahawa tindakan pendakwaan hanya akan ditentukan selepas Jabatan Laut Wilayah Selatan menerima laporan penuh siasatan.

Hazman memberitahu, pemeriksaan awal pihaknya mendapati syarikat feri berkenaan sebelum ini pernah disaman akibat kesalahan membawa muatan berlebihan.

“Kami juga sedang mendapatkan penjelasan daripada syarikat itu mengapa hanya tiga krew yang bertugas semasa kejadian sedangkan peraturan menetapkan jumlah minimum ialah empat orang iaitu seorang kapten, seorang pengendali enjin dan dua krew,” katanya.

Beliau memberitahu, siasatan mendapati pengendali Seagull Express gagal menyerahkan senarai nama penumpang kepada Jabatan Laut Wilayah Selatan seperti yang dikehendaki dalam prosedur pelayaran.

“Pemeriksaan kami mendapati tiada senarai penumpang diserahkan oleh pengendali feri itu sebelum pelayaran dimulakan Sabtu lalu,” katanya.

Dalam tragedi kebakaran yang berlaku kira-kira 11 kilometer dari Pulau Tioman itu, empat orang terbunuh manakala tiga penumpang feri itu masih hilang.

Kejadian tersebut menimbulkan kebimbangan masyarakat berhubung aspek keselamatan operasi feri. Feri Seagull Express itu membawa penumpang berlebihan iaitu 106 termasuk tiga krew kapal selain beroperasi tanpa jaket keselamatan mencukupi untuk penumpang.

Hazman menjelaskan, semua feri di negara ini perlu menjalani pemeriksaan keselamatan sekali setahun sebelum permit diperbaharui.

Tambahnya, setiap feri juga perlu menyediakan tambahan 10 peratus jaket keselamatan berbanding jumlah keseluruhan penumpang dewasa manakala tambahan jaket untuk kanak-kanak pula perlu lebih sebanyak 15 peratus.

Dalam pada itu, usaha mencari dan menyelamat (SAR) tiga mangsa tragedi itu yang masih hilang terus buntu dengan pasukan penyelamat gagal menemui mangsa dalam operasi yang memasuki hari ketiga.

Operasi yang sepatutnya bermula pukul 8 pagi itu menghadapi pelbagai kesulitan dan tertangguh ekoran cuaca buruk. Ia hanya dimulakan pada pukul 1.40 petang ini.

Tiga mangsa yang masih hilang ialah Choong Yoong Kim, 43, dan Wong Soong Leng, 37, dari Petaling Jaya serta Wong Hann Wenn, 29, dari Klang.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Johor, Abdul Hamid S. Abdullah, bagi membantu operasi itu, pihaknya turut mendapat khidmat anjing pengesan dari Unit Anjing Pengesan (K9) Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur.

Katanya, tiga anjing dari jenis Labrador berusia antara tiga dan tujuh tahun yang diberi nama Jeo, Hardy dan Cody didatangkan khas bagi membantu operasi mengesan namun bagi operasi hari ini hanya Jeo yang digunakan.

“Operasi mencari ditumpukan di kawasan 176 darjah dari Pulau Tinggi yang melibatkan kawasan seluas 42 batu nautika.

“Keseluruhannya, 10 anggota bomba dengan dua bot penyelamat terlibat serta dibantu polis marin dengan kekuatan yang sama,'' katanya.

Satu-satu petunjuk yang diperoleh dalam operasi yang dijalankan adalah penemuan satu jaket keselamatan milik feri malang itu di lokasi enam batu nautika dari Pulau Tokong Bahara dan Pulau Jahat kira-kira pukul 2.30 petang ini.

Koordinator SAR, Kapten Maritim Tan Kok Kwee berkata, penemuan jaket itu membolehkan pihaknya mengetahui arus laut di samping menjadi petunjuk untuk mengetahui lokasi sebenar mangsa.

Beliau bagaimanapun tidak dapat mengesahkan sama ada jaket itu dipakai oleh salah seorang daripada mangsa yang masih hilang

0 comments: