Periksa semua feri, bot: PM

Oleh Fazallah Pit dan Mohd Anwar Patho Rohman


RAI TETAMU: Abdullah dan isterinya, Datin Seri Jeanne Abdullah bersalaman dengan orang ramai yang hadir memeriahkan Rumah Terbuka sempena Aidilfitri di Dewan Milenium, Kepala Batas, semalam.

Kementerian Pengangkutan diarah batalkan serta-merta lesen pengusaha degil

KEPALA BATAS: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam mengarahkan Kementerian Pengangkutan supaya memeriksa semua feri dan bot yang beroperasi di seluruh negara bagi memastikannya mempunyai lesen dan mematuhi syarat serta spesifikasi yang ditetapkan.

Perdana Menteri menegaskan, langkah itu dibuat bagi menjamin keselamatan penumpang yang menggunakan perkhidmatan terbabit sekali gus mengelak kejadian tidak diingini seperti feri Seagull Express yang terbakar dan karam di perairan Pulau Tioman pada Sabtu lalu berulang.


Beliau juga mahu Kementerian Pengangkutan dan pihak berkuasa berkaitan mengenakan tindakan tegas terhadap pengusaha feri atau bot yang berdegil serta beroperasi membawa penumpang walaupun tidak memiliki lesen.

"Saya mahu Kementerian Pengangkutan supaya membuat pemeriksaan... tidak kira mana-mana feri di negara ini supaya semua bot yang dijadikan feri bagi mengangkut penumpang atau barang ini berada dalam keadaan selamat.

"Pengusaha feri mesti bertanggungjawab. Saya harap feri yang tidak ada lesen supaya segera berhenti beroperasi," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjurannya di Dewan Milenium di sini, semalam.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejadian feri Seagull Express yang terbakar lalu karam di perairan Pulau Tioman, pada kira-kira jam 1.30 petang Sabtu lalu, menyebabkan empat terkorban, empat cedera manakala tiga yang lain hilang.

Dalam kejadian kira-kira tujuh batu nautika dari Pulau Tioman itu, tiga anak kapal dan 103 penumpang feri Seagull Express bertindak nekad terjun ke laut bagi menyelamatkan diri sebaik mendapati enjin feri berasap dan terbakar.

Empat mangsa yang maut dipercayai lemas dikenali sebagai Hoo Lee Lan, 67, dari Kuala Lumpur; Hong See Tiew, 53 dan Teh Siew Lian, 52, masing-masing dari Klang dan Tee Moi @ Haw Lee Maoi, 68, dari Batu Pahat.

Mereka yang cedera parah ialah Yong Sai Yoon, 26; Lee Jhi Yin, 35; Chong Wing Yi, 7 dan Nga Lee Ling, 14 manakala tiga yang masih hilang ialah Wong Sing Ling, 37; Chong Yong Kim, 43, kedua-duanya dari Klang dan Wong Han Wan, yang umur dan alamatnya belum diketahui.

Kejadian berlaku ketika feri itu dalam perjalanan dari Jeti Mersing ke Jeti Genting Tioman. Semalam, Jabatan Laut mengesahkan feri itu beroperasi secara haram dan tidak memiliki sijil untuk mengangkut penumpang.

Selain itu, Pejabat Pelabuhan Mersing juga mengakui feri berkenaan pernah ditahan awal tahun ini kerana melakukan beberapa kesalahan dan masih belum dibenarkan beroperasi semula kerana gagal mematuhi syarat ditetapkan.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata, beliau sudah menghubungi Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy bagi memperoleh perkembangan terkini berhubung kejadian berkenaan dan mengarahkan tindakan tegas dikenakan kepada pengusaha feri Seagull Express.

"Beliau (Chan) akan memberi laporan penuh berhubung kejadian itu hari ini dan saya diberitahu siasatan awal kementerian mendapati feri berkenaan tiada lesen kerana tidak memenuhi spesifikasi yang ditetapkan.

"Saya kesal dengan apa yang berlaku tapi sekarang ia sudah terjadi dan ramai yang terkorban," katanya yang menganggap kejadian itu sebagai serius dan mengucapkan takziah kepada mangsa dan keluarga mereka yang terbabit dalam nahas berkenaan.

Sementara itu, kira-kira 20,000 orang daripada pelbagai kaum dan agama, termasuk kalangan pemimpin, mengunjungi Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri yang diadakan bermula jam 10 pagi hingga 5 petang semalam.

Antara tetamu kenamaan yang hadir ialah Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff; Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; serta timbalannya, Datuk Seri Abdul Rashid Abdullah.

Turut hadir, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim; Menteri Besar Kedah, Datuk Mahdzir Khalid; dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali.

0 comments: