'Henti segera tahan aktivis prodemokrasi'

Wakil Khas PBB tuntut junta tamat operasi, gesa negara jiran beri tekanan

BANGKOK: Wakil Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Myanmar, Ibrahim Gambari semalam menuntut kerajaan junta Myanmar menamatkan segera semua operasi menahan aktivis prodemokrasi dan pemimpin dalam buangan yang disifatkannya sebagai perkembangan membimbangkan.

Gambari yang memulakan lawatan ke rantau Asia bagi memaksa negara jiran memberi tekanan kepada junta, berkata beliau sendiri berharap dapat kembali ke Myanmar pertengahan bulan depan bagi menyambung rundingan dengan pemimpin tentera.


"Laporan penahanan baru aktivis yang juga pemimpin pelajar, prosedur soal siasat dan tindakan provokasi oleh junta amat membimbangkan dan ia jelas bertentangan dengan persetujuan bersama antara PBB dan Myanmar. Semua tindakan ini harus ditamatkan segera," katanya kepada wartawan selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin Bangkok, termasuk Perdana Menteri Surayud Chulanont.

Gambari dijangka mengunjung Malaysia hari ini dan seterusnya menuju Indonesia, India, China dan Jepun. China, salah satu rakan dagang terbesar dan penyokong Myanmar, menyokong kenyataan Majlis Keselamatan PBB minggu lalu kesal dengan tindakan keras pembasmian tunjuk perasaan yang mengorbankan 13 orang dan lebih 2,000 lagi dipenjarakan.

Thailand, yang diperintah kerajaan disokong tentera sejak rampasan kuasa tahun lalu, mengemukakan bantahan secara rasmi berhubung keganasan itu.

Namun, di sebalik kecaman antarabangsa di atas tindakannya menangani bantahan jalanan besar-besaran yang diketuai kumpulan sami Buddha, bulan lalu, kerajaan junta sebaliknya bertindak menahan enam lagi aktivis kelmarin, seperti didedahkan pertubuhan hak asasi manusia Amnesty International.

Malah, media Myanmar semalam menyelar negara Barat yang didakwanya cuba menubuhkan kerajaan boneka di Myanmar ketika Menteri Luar Kesatuan Eropah berada di Luxembourg untuk membincangkan sekatan keras terhadap junta.

"Secara geografi, Myanmar terletak di kawasan strategik. Ia penting bagi pemimpin negara Barat untuk menjadikan ia kubu kuat mereka. Itu sebabnya mereka mahu menubuhkan kerajaan yang mengikut telunjuk mereka.

"Kerajaan Tatmadaw (tentera) yang ada sekarang tidak akan dipengaruhi mereka," kata akhbar New Light of Myanmar yang juga lidah rasmi kerajaan junta.

Penganalisis percaya sekutu utama dan rakan perdagangan Myanmar seperti China, India dan Thailand mempunyai peluang meyakinkan barisan jeneralnya mengubah pendirian.

Di Singapura, Pengerusi Asean Ong Keng Yong menyifatkan langkah terbaik adalah mewujudkan persetujuan bersama antara jeneral junta dengan pemimpin prodemokrasi, Aung San Suu Kyi. � AFP

0 comments: