DENGAN berat hati, Sri terpaksa menutup akaun facebook yang sudah dibukanya sejak setahun lalu. Lebih menyedihkannya, laman sosial itulah tempat dia meluahkan perasaan, berhubung dengan ramai rakan, selain menjadi seorang yang sedikit gila-gila.
Semuanya itu gara-gara ayahnya, bukan orang lain. Jangan main-main, ayah Sri sudah ada akaun facebook sekarang. Kenalan di dalam akaun facebook ayahnya cuma ada tiga orang. Sri, abang dan seorang pak ciknya.
"Takkan tak add, nanti ayah aku marah. Sejak itu, aku dah tak boleh tulis benda-benda merepek lagi. Lagi satu, kalau orang lain sibuk ajak pergi macam-macam parti, ayah rajin pula tulis pesanan supaya aku jangan lupa pergi kenduri, sembahyang dan menghadiri majlis pengkebumian kawan-kawannya.
"Tension betul. Tidak tahan kena kutuk, aku pun tutup akaun facebook. Habis cerita," katanya bersungguh-sungguh. Semua yang mendengar ketawa terbahak-bahak, tiada langsung nada simpati.
Bagi saya, Sri (nama sebenarnya, Srikanth Siva) menjalankan tugasnya pada malam itu dengan baik. Rantaian cerita jenakanya nyata mendapat sorakan daripada setiap audien yang nampaknya cukup terhibur.
Inisiatif Time Out KL
Malah, persembahan yang diberi nama Time Out Comedy Thursday itu nyata mengubah ambien di kelab malam popular, Velvet Underground Zouk Kuala Lumpur. Tiada muzik tekno atau elektronik berkumandang bingit di dalam ruang yang dindingnya disapu warna hitam. Lantai tarian juga sepi tanpa ada seorang pun galak menggerakkan badan mengikut alunan muzik.
Semua mata tertumpu kepada satu demi satu pelawak yang membuat persembahan stand up comedy (aksi lawak secara langsung). Beraksi di atas sebuah pentas kecil, ditemani oleh mikrofon di tangan dan sorotan cahaya lampu, setting itu mengingatkan saya kepada rancangan televisyen popular seperti Seinfeld dan Last Comic Standing.
Percaya atau tidak, Time Out Comedy Thursday, hasil inisiatif majalah Time Out KL merupakan acara stand up comedy paling besar dan kerap diadakan di ibu negara. Sudah mengumpul ramai peminat setia, persembahan itu dimulakan sejak Mei 2008 di Heritage Mansion, Jalan Kamunting, Kuala Lumpur dengan kerjasama Young Comedians of Malaysia (YCOM).
"YCOM bertindak sebagai satu kumpulan sokongan yang memberi peluang kepada pelawak untuk membuat persembahan. Kami juga berbincang tentang material dan berkongsi jaringan perhubungan. Jadi, siapa yang mahu jadi pelawak boleh datang ke YCOM," jelas salah seorang pengasasnya, Phoon Chi Ho.
YCOM ditubuhkan pada tahun lalu bersama dua orang rakannya, Kavin Jayaram dan Matthew. Sebelum ini, persembahan para pelawak YCOM hanya terhad di sekolah atau kolej sahaja. Namun, semua itu berubah apabila Time Out KL menyedari kewujudan YCOM dan memahami keperluan kelompok pelawak muda.
Pengarah Editorial Time Out KL, Matt Bellotti memberitahu, pihaknya mahu menjadi sebuah majalah yang berbeza. Maka, stand up comedy menjadi medium kempen pengenalannya.
"Orang Malaysia suka ketawa. Lagi pun, kita ada ramai pelawak berbakat. Apabila projek ini dimulakan, sambutan yang diterima cukup memberangsangkan. Setiap kali, pasti ada muka-muka baru yang datang menonton.
"Jadi, kami perlu mencari lokasi lebih besar dan mengembangkan legasi stand up comedy dari London ke Kuala Lumpur," katanya, sambil menyatakan bahawa majalah Time Out yang berpangkalan di London itu sudah mencecah usia 40 tahun.
Memanglah secara logiknya jika semakin ramai penonton, pihak penganjur sepatutnya menyediakan lokasi lebih besar. Namun, ia kurang sesuai untuk stand up comedy. Ini kerana persembahannya melibatkan hubungan dengan audien.
Tiada gunanya kalau buat di tempat besar dan penonton belakang tidak dapat merasainya. Jadi, apa yang boleh dilakukan adalah mempromosi jenama Time Out Comedy Thursday di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan ramai pada waktu malam.
Matt mengakui bentuk hiburan sebegini masih baru di Malaysia. Sedangkan di London, boleh dikatakan kebanyakan bar ada mengendalikan persembahan itu.
Bakat pelawak tempatan
Justeru, bagi memastikan masa depan stand up comedy yang nampaknya semakin cerah, ia akan diadakan lebih kerap. Mungkin dua atau tiga kali seminggu dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang.
Lagi pun, terdapat kumpulan pelawak yang komited dan berbakat, walaupun ada antara mereka tidak pernah naik ke pentas sebelum ini.
"Bakat pelawak tempatan? Sangat mengagumkan. Anda perlu faham bahawa stand up comedy bukannya setakat berdiri di tengah pentas dan buat lawak bodoh.
"Tetapi ia merupakan satu seni persembahan yang melibatkan setajam mana pengamatan seseorang terhadap sesuatu perkara dan melihatnya dari aspek berbeza," tambah Matt, menyatakan durasi setiap persembahan adalah sekitar 15 hingga 30 minit.
Diacah tentang lawak yang dikitar semula, seorang lagi pelawak, Kavin tidak menafikan bahawa ramai pelawak yang berbuat demikian. Tetapi tidak mustahil audien akan kembali ketawa. Baginya, stand up comedy bukan sekadar membuat lawak, tetapi lebih kepada kemahiran seseorang menyampaikannya.
Kadangkala, pelawak boleh bercerita lawak yang sama tiga kali berturut-turut. Namun magisnya, ia cukup berbeza antara satu sama lain. Ini kerana hadirin mengektrak atau mengaitkannya melalui cara yang berbeza.
"Saya sendiri buat begitu (kitar semula lawak). Antara sebabnya, apabila menulis cerita lawak, anda boleh ketawa. Tetapi sewaktu membacanya dua hari kemudian, ia sudah tidak kelakar lagi," ujar Kavin jujur.
Bagaimana mereka menghasilkan lawak jenaka? Kavin menyatakan, setiap orang di YCOM mempunyai personaliti dan pendekatan berbeza. Misalnya, ada dalam kalangan mereka yang lebih suka menyentuh aspek politik, perkauman dan sebagainya.
Inspirasi material lawak
Dia sendiri datang dari sebuah keluarga yang gemar berlawak. Suasana di dalam rumahnya pun seperti sarkas.
"Saya bagi contoh. Baru-baru ini, apabila kami berjumpa, pak cik dan mak cik saya bertekak pasal harga akhbar The Sun. Awak bayangkanlah sendiri," katanya, diikuti dengan gelak besar.
Sementara Chin Ho pula mendapat inspirasi untuk menulis lawaknya selepas menonton Dewan Rakyat secara langsung. Namun, lawaknya banyak juga bergantung kepada peristiwa yang berlaku di sekeliling.
Misalnya, kejadian pusat beli-belah Jaya di Seksyen 14 Petaling Jaya yang runtuh. Dia mengaitkannya dengan kehadiran sekumpulan Transformers di sana. Kebetulan pula, filem Transformers baru sahaja ditayangkan ketika itu.
Kedua-dua pelawak itu bersetuju tentang satu perkara iaitu audien di Malaysia adalah berbeza. Berbeza dengan orang Amerika atau Britain, mereka mempunyai lebih kebebasan untuk 'memberi komen' tentang politik.
Tetapi, masih ada perkara berkaitan kaum yang boleh disentuh. Selagi ia dikaitkan dengan orang Malaysia, ia boleh menjadi material lawak yang bagus.
Matt agak terkejut dengan apa yang berlaku di sini. Di London, tidak banyak lawak yang menyentuh tentang perkauman kerana ia boleh menjadi satu isu sensitif. Sedangkan di negara ini, tahap toleransi masyarakatnya masih begitu baik.
"Perbezaan antara kaum itulah yang menjadi material lawak yang bagus. Sebabnya, semua orang mengakui dan ketawa ke atas perbezaan tersebut," jelas Matt.
Mengakui wujud kekangan dalam berlawak, mereka bersetuju bahawa bagaimana sensitif pun sesuatu isu, audien yang ketawa itu layak untuk menilainya.
Darah gemuruh
Membuatkan orang ketawa bukan satu kerja mudah. Perlu betul-betul berani bercerita di hadapan sekumpulan manusia yang mungkin bersikap skeptikal dengan kebolehan anda. Namun, jika anda boleh melakukannya dengan yakin, tidak mustahil mereka akan ketawa.
Semua orang pasti berdebar apabila hendak berdiri di atas pentas. Kavin dan Chin Ho tidak terkecuali. Lebih gemar menulis lawaknya lima minit sebelum persembahan, Kavin bagaimanapun tidak menulis skrip lawak sepenuhnya.
Cuma topik yang ingin diperkatakan dicatat di atas sehelai kertas. Cerita akan berkembang sebaik sahaja dia mula mendengar audien ketawa, kemudian darah gemuruhnya secara automatik juga akan hilang.
Malam itu, Chi Ho turut membuat persembahan. Mengambil watak sebagai seorang lelaki Cina yang nerd, dia mula bercerita.
"Susahlah jadi orang Cina. Saya pun tak faham kenapa. Setiap kali terjumpa mat saleh, mereka mesti berkata: "Hey you Chinese, show us some kung fu (sambil menggayakan aksi kung fu).
"Kenapa mereka selalu ingat orang Cina mesti pandai berkung fu? Mesti sebab terpengaruh dengan filem Bruce Lee. Peliknya, apabila kita jumpa mereka, tak pula kita cakap: "Hey you American, say something stupid."
0 comments:
Post a Comment